Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Tuesday, June 12, 2018

Sekitar Mesyuarat Dan Pemilihan UMNO Peringkat Cawangan Di Kedah...


Musim pemilihan kepimpinan UMNO dah tiba. Kali ni memang lain macam suasananya. Bermula dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat tertinggi parti, kehangatan itu bagai sukar diungkap dengan kata-kata...

Pada saya segalanya bagai kembali di era penubuhan UMNO. Ada pemimpin yang membawa watak Dato' Onn Jaafar, ada pula yang menggalas watak Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin Melayu yang tebal semangat kebangkitan nasionalisnya.

Di peringkat cawangan misalnya, bukan sedikit yang memulakan mesyuarat dengan suasana sugul, namun dalam tempoh yang singkat, ramai akar-umbi yang bersuara memberi pandangan. Ada yang bernada perlahan dan sederhana, namun ada yang berapi-api membakar semangat juang parti keramat Melayu ini...

Saya turut hadir di beberapa mesyuarat cawangan. Walaupun hanya sekadar memerhati keadaan dan ketertiban mesyuarat, namun roh dan jiwa kebangsaan saya meluap-luap di hati. Meskipun hanya ahli biasa di cawangan kecil, namun jiwa besar akar umbi begitu setia dengan perjuangan anak bangsa.

Mereka langsung tidak bercakap tentang Tun M mahupun Dato' Seri Najib. Yang diungkap hanyalah UMNO, UMNO dan UMNO. Yang terpamer hanyalah jatidiri anak bangsa, agama Islam, orang Melayu dan Tanah Melayu! 


Tidak perlulah saya ungkapkan di sini tentang apa yang diperkata secara terperinci. Namun cukuplah saya katakan bahawa apa yang berlaku pada 9 Mei lalu merupakan titik tolak kepada pembaharuan parti secara keseluruhan sebagaimana yang telah lama diperkatakan. 

Ahli tidak hanya mendengar dan akur kepada Ketua Cawangan, namun pendekatan dua hala berlaku apabila mereka tampil bersuara menambahbaik cadangan dan usul dengan idea-idea bernas dan menarik.

Agak menarik untuk melihat ramai golongan cerdik pandai, berpendidikan tinggi dan berpengetahuan agama mula hadir ke mesyuarat cawangan kali ini. Mereka tidak minta jawatan, tapi lebih selesa untuk memberi pandangan dan lantang bersuara dalam mesyuarat. Sebelum ini, mereka bagai "silent", tidak endah dan "malas" hadir ke mesyuarat cawangan!

Ada ahli yang mengkritik, namun penuh dengan adab sopan dan berhemah. Ia begitu membangkitkan suasana mesyuarat yang rata-ratanya diadakan selepas solat terawikh itu. Dalam kehangatan, tercetus satu ikatan dan kebersatuan erat yang tidak dapat diungkap dengan perkataan...

Lidah saya kelu di belakang tabir. Belum pernah saya hadir ke mesyuarat cawangan seumpama ini. Ianya ibarat Tanah Melayu ini sedang dijajah dan masyarakat Melayu ini bangkit bersatu-padu dengan tekad untuk merdekakan bumi pusaka bangsa ini.

Lebih menarik, Ketua-Ketua Cawangan juga mempelawa mana-mana ahli untuk berminat untuk mengambil alih jawatannya. Ada yang sanggup melepaskan jawatan walaupun dirayu ahli supaya tidak berbuat demikian. Begitu mengharukan...


Ketua-Ketua Cawangan itu sebenarnya bukan mahu lari daripada perjuangan, namun hasrat itu lahir dari nurani yang ikhlas dan mengambil tanggungjawab atas kegagalan mereka mempertahankan kuasa Melayu di negara ini. 

Cuba bayangkan. Biarpun melaksanakan tugas dengan baik di peringkat cawangan dan PDM mereka menang pada PRU yang lalu, namun mereka tetap mengambil tanggungjawab kekalahan UMNO di peringkat pusat. Saya hormat sikap Ketua-Ketua Cawangan itu...

Pada 23 Jun ini, akar umbi parti akan memilih kepimpinan di peringkat UMNO Bahagian dan sayap-sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Daripada apa yang terhidang di depan mata saya, saya menjangkakan pelbagai kejutan bakal berlaku.

Calon-calon peringkat UMNO Bahagian dan sayap-sayap parti ini hanya memiliki 11 hari lagi untuk berkempen jika dihitung bermula hari ini. Ada yang ligat melobi para perwakilan hingga ke ibu negara da selatan tanah air.

Namun saya lebih berminat menyaksikan calon yang kurang berkempen, tapi ramai akar umbi yang bercakap mengenai mereka dan memberi sokongan padu kepada calon-calon ini. Mungkin mereka kenal dan mengiktiraf kemampuan dan kualiti para pemimpin berkenaan sehingga ramai yang berkempen untuk mereka, tanpa mengharapkan sebarang habuan!

Saya terkenangkan Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya dulu. Begitu ramai yang menyokong mereka di peringkat akar umbi sehingga mereka langsung tidak berkempen untuk diri mereka sendiri, sebaliknya kerja-kerja kempen ini dilakukan secara sukarela oleh para penyokong mereka.


Mungkin itulah salah satu hikmah di sebalik apa yang berlaku pada 9 Mei yang lalu. Hilangnya kuasa Melayu di Tanah Melayu ini telah mencetus penyatuan yang sukar diterjemah dengan kata-kata. Sangat sukar untuk dimengertikan, namun airmata tumpah di kebanyakan mesyuarat cawangan yang saya hadiri.

Cukuplah saya nukilkan apa yang berlaku di sekitar mesyuarat-mesyuarat cawangan yang saya hadiri baru-baru ini. Yang pasti, 23 Jun ini ada yang akan menang dan ada yang akan tewas. Begitulah adat demokrasi dan pertandingan.

Jika tewas, usahlah berjauh hati. Cuba lagi pada pemilihan 3 tahun lagi. Jika menang, usah ketepikan yang kalah. Jemputlah bersama untuk menyumbang semangat, tenaga dan buah fikiran demi kelangsungan parti. Rapatkan kembali saf di dalam parti kita...

InsyaAllah, saya akan mengulas pasca 23 Jun nanti. Pada 30 Jun, kita akan memilih kepimpinan tertinggi parti pula dan jika ada kelapangan, saya akan turut mengulas mengenainya. 

Apa pun, pilihlah yang terbaik. Usah pilih bulu. Jika Malaysia tersilap memilih pada PRU yang lalu sebagaimana yang disesalkan ramai baru-baru ini, janganlah kita ikut tersilap memilih kepimpinan UMNO penggal ini. Pilihlah dengan rasional, bijak dan tepat demi Islam, bangsa Melayu dan Tanah Melayu.

Hingga bertemu lagi, wassalam...

Sunday, June 10, 2018

10 JUN: GENAP SEBULAN PAKATAN HARAPAN BERKUASA, APA ADA?


Hari ini, 10 Jun 2018, maka genaplah sebulan Pakatan Harapan berkuasa sebagai Kerajaan Malaysia. Tahniah saya ucapkan kerana "Malaysia masih aman"...

Sejak berkuasa, dalam usaha mengotakan manifesto PH, pelbagai polisi atau dasar telah diperkenal, dilaksana dan di"rebranding"kan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, ada yang masih diperingkat "cadangan" dan ada pula yang masih di peringkat "test market". Ada "suri rumah" yang "sangkut" sebab tak kaji undang-undang sedia ada sebelum berjanji?

Kabinet negara belum lagi lengkap. Entah bila akan lengkap, kita tidak pasti. Namun TPM kata, 50% daripada manifesto PH itu telah pun terlaksana. Saya tak pasti kenapa kenyataan itu dipertikai majoriti rakyat. Mungkin mereka dapat merasai, berfikir dan menilai sendiri peratusan tersebut.

Selain itu, macam-macam perkara yang telah berlaku. Siasatan demi siasatan terhadap pemimpin kerajaan lalu telah dijalankan, menepati manifesto 100 hari. Ada yang bertepuk tangan, tapi nampaknya lebih ramai yang mencemuh dan menyedari apa sebenarnya yang berlaku. Macam "dejavu" 1998, bukan?


Mudah kata, nampaknya Kerajaan PH lebih bertumpu pada soal politik, namun hanya memberi sedikit tumpuan terhadap soal kebajikan dan kesejahteraan hidup majoriti rakyat. Malah, diperkenalkan pula dasar "merayu sedekah dari poket rakyat". 

Baru beberapa hari berkuasa, puluhan ribu hilang kerja sekaligus hilang pendapatan. Bantuan Hari Raya pula hanya Gred 41 ke bawah saja yang merasa, itu pun hanya RM400. Tak tahulah nasib mereka yang lain seperti ibu tunggal, pesara, OKU, imam, bilal, siak, golongan asnaf dan rendah pendapatan pada tahun ini. Selama ini, Allah beri rezeki mencurah-curah pada mereka setiap kali menjelang Ramadhan dan Aidilfitri, bukan?

Penjawat awam tidak dinaikkan gred seperti yang direncanakan. Maksudnya, gaji tak naik. Elaun untuk penjawat awam tertentu dipotong pula 10%. Malah khabarnya penjawat awam negeri tertentu terpaksa "sedekah" sebahagian wang bonus mereka ke tabung kerajaan? Saya cuma geleng kepala memikirkan "sedekah tanpa rela" itu. Ikhlaskah? Atau dipaksa ikhlaskan diri? RM100 pun lepaslah nak isi minyak kereta berhari raya nanti, bukan?

Dalam pada itu, harga minyak langsung tak turun-turun? Pelik bin ajaib, bukan? Padahal, sebelum PRU14 khususnya ketika berkempen, itulah yang disebut-sebut. Hampir setiap hari PH kata akan turunkan harga minyak jika menang PRU. "Kasihanilah rakyat" kata mereka sambil bunyikan hon...


Mansuh tol? Ada satu tol yang dimansuhkan, tol KL-Seremban kalau tak silap. Itupun sebab perjanjian konsesi dah tamat. Untuk raya kali ni, Kerajaan PH umum tol percuma 2 hari.. ehh.. silap.. diskaun tol 50% untuk 2 hari. Memandulah secara berhemah, mungkin tiada diskaun jika anda disaman nanti...

Dalam tempoh ini juga, kita boleh lihat #MalaysiaMemilih makin berani bersuara. Ada yang sangat berani "usik" hal ehwal agama Islam ada pula yang "gagah berani" mempertikai Yg DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terutama di media sosial. Begitu juga dengan soal cadangan lantikan AG yang mencetus kontroversi. Itu belum lagi soal LGBT, kan? Maklumlah, bukankah kuasa kini memihak mereka, maka bertambah kuatlah mereka bersuara...

Terus terang saya katakan, secara peribadi saya berpendirian bahawa kuasa kini berada di tangan mereka. Kuasa itu diberikan oleh #MalaysiaMemilih kepada PH pada 9 Mei 2018 dan sah pada 10 Mei 2018. Kuasa itu sah dari sudut perlembagaan negara.

Saya yakin, kita tidak seperti mereka yang memfitnah dan memaki hamun SPR setiap kali bila kalah PRU. Kita tidak salahkan peti undi. Kita juga tidak menimbulkan isu "pengundi hantu". Malah tiada sebuah pun pesawat jumbo atau bangla dipersalahkan. Kita hormat pada keputusan dengan penuh semangat demokrasi yang subur di Malaysia.


Oleh itu, saya lebih senang untuk tidak mengkritik, menyerang atau menghina Kerajaan PH mahupun para pemimpinnya. Kuasa berada di tangan mereka, maka lakukanlah apa saja yang mereka suka. Kerajaan PH pimpinan PM ke-7 berhak untuk berbuat apa saja. 

Lagipun, saya hanya rakyat biasa. Apatah lagi saya menyokong UMNO, golekkan diri akan terluka, digolek pun terluka. Namun begitu, masa masih panjang. Kita ada 5 tahun untuk dihadapi dalam penggal ini. 

Apabila suatu dasar atau polisi itu diumum atau terlaksana, maka sudah tentulah akan ada kesannya, bukan? Setelah itu, berkonsepkan "freedom of speech" yang dilaungkan oleh PH dan BN selama ini, ia memberikan saya hak kebebasan untuk mengkritik, bukan?

Tapi jangan risau. Saya tidak mengamalkan kata-kata kesat, berbohong, menipu atau mereka-reka cerita, jauh sekali memfitnah. InsyaAllah, saya akan mengkritik secara berhemah, adil, membina dan mengutamakan prinsip hukum-hakam Islam serta perundangan negara.


Biarpun saya seorang pejuang UMNO, kita semua tetap bersahabat dan wajar mengamalkan politik matang. Apa yang penting, majoriti orang Melayu dan masyarakat Malaysia yang hormatkan Kontrak Sosial akan bersatu-padu, bangkit untuk meraih kembali kuasa di negara ini. 

Akhir kata, kini Melayu hilang kuasa di bumi sendiri, nantikanlah masanya kami merdekakan kembali "Persekutuan Tanah Melayu" ini! Itu tekad saya... Wallahu'alam.

Bila Kak Su Bersuara... Heh!