Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Wednesday, September 5, 2018

KETUANAN MELAYU: ORANG MELAYU KENA JADI "TUAN" KEPADA ORANG BUKAN MELAYU?


Saya ketawa besar apabila seorang pemimpin PH veteran membuat tafsiran melucukan mengenai konsep "Ketuanan Melayu" dalam satu majlis yang dihadiri oleh ramai usahawan Melayu dan Bumiputera.

Dia dalam ucapannya di depan majoriti orang Melayu itu mengatakan konon orang Melayu perlu menjadi tuan kepada orang bukan Melayu maka barulah ia boleh dianggap sebagai "Ketuanan Melayu".

"Apa erti ketuanan Melayu kalau Melayu menjadi pemandu dan yang duduk di belakang adalah orang bukan Melayu?", katanya memetik laporan media arus perdana.

Saya tidak pasti sama ada beliau benar-benar tidak tahu atau sengaja mahu memperbodoh-bodohkan orang Melayu di depannya. Namun tafsiran itu betul-betul membuat saya ketawa dan ketawa lagi bila mengulang baca kenyataan tersebut.

Apakah sebenarnya konsep "Ketuanan Melayu" itu? Adakah orang Melayu perlu jadi "tuan" dan orang bukan Melayu pula menjadi "kuli"nya, maka barulah ia layak dikatakan tepat dengan konsep "Ketuanan Melayu"?

Rizal Yaakop (2011) menjelaskan bahawa "Ketuanan Melayu adalah ‘anti-tesis’ kepada Malaysian Malaysia. Ia menekankan tentang kedudukan orang Melayu dalam lingkungan politik yang perlu diperkuatkan untuk menghadapi ketidakseimbangan ekonomi dalam hubungannya dengan masyarakat bukan Melayu, terutamanya orang Cina yang pada umumnya dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai rakus dan tidak sensitif kepada budaya mereka." 


Kajian akademik ini menyebut bahawa konsep "Ketuanan Melayu" itu merupakan lawan bagi konsep "Malaysian Malaysia" yang dibawa DAP. Beliau menyatakan bahawa konsep yang dipelopori oleh Lee Kuan Yew dan diwarisi oleh DAP ini menekankan kesamarataan hak di kalangan kaum di dalam sebuah negara masyarakat majmuk menerusi strategi politik dan percaturan ekonomi, (Rizal Yaakop, 2011).

Beliau juga menjelaskan bahawa konsep "Malaysian Malaysia" itulah yang ditentang hebat oleh para pemimpin UMNO "cenderung untuk menegaskan pemilikan Melayu terhadap negara, pembaikan sosioekonomi orang Melayu dan hak keistemewaan untuk orang Melayu - semuanya boleh dirangkum dalam konsep Ketuanan Melayu, atau hegemoni Melayu di negara ini", (Rizal Yaakop, 2011).

Saya berpandangan bahawa jurnal ilmiah yang menjelaskan tentang pengertian sebenar istilah "Ketuanan Melayu" itu ketara tidak menyebut sebarang kaitan kononnya "orang Melayu perlu jadi tuan kepada orang bukan Melayu". 

Jelas juga bahawa "ketuanan" yang diungkapkan itu bukanlah dari erti kata "tuan" yang sebenar sebagaimana yang disebut oleh pemimpin PH veteran tersebut. Sebaliknya, ia lebih menjurus kepada hegemoni "pemilikan Melayu terhadap negara,pembaikan sosioekonomi orang Melayu dan hak keistemewaan untuk orang Melayu".

Konsep "Ketuanan Melayu" itulah yang menjadi sasaran propaganda ideologi DAP. Apa yang mereka buat? Rakyat Malaysia dimomokkan dengan hujah dan ideologi untuk membenci konsep "Ketuanan Melayu" dan meliberalisasikan ideologi ini kononnya berdiri atas asas perkauman dan ketidakadilan.

Sesiapa saja yang mempertahankan konsep "Ketuanan Melayu" akan mereka label sebagai "rasis". Mereka hasut pula orang bukan Melayu supaya membenci mereka yang mempertahankan konsep ini dan meracun fikiran segelintir orang Melayu yang berfahaman liberal supaya bersetuju dengan "kesamarataan hak".

Kenapa mereka buat begitu? Saya yakin bahawa itu merupakan strategi DAP untuk memenangkan "Malaysian Malaysia" secara halus tanpa disedari. Dan hari ini, kita boleh melihat mereka sedang meraikan kejayaan apabila ramai pemimpin kita yang takut untuk bercakap soal "Ketuanan Melayu". Menyedihkan, bukan?

Faham? Maka sebab itulah saya ketawa besar bila mendengar "retorik politik" dalam ucapan pemimpin veteran PH itu. Sama ada dia benar-benar tak tahu, atau dia sengaja mahu bodoh-bodohkan orang Melayu di depannya, saya tidak pasti.

Tapi dari sudut pandang saya, tidak wajarlah dia sebagai orang politik yang berpengaruh dan menjadi sanjungan, memomok-momokkan suatu yang tidak betul dan "poyo" seperti itu. Orang Melayu sekarang bukan lagi mudah dia perbodoh-bodohkan seperti dahulu...


Walau bagaimanapun, saya menyarankan supaya beliau kurang-kurangkan atau lebih baik berhentilah terus daripada mengabdikan diri dalam politik yang penuh kepuraan. Sampai bila mahu "bertuhankan politik"? 

Sebagai seorang yang seusia anaknya, saya dengan rendah hati memohon agar beliau kembalilah ke tikar sejadah daripada terus memesongkan diri daripada matlamat akhirat. Kita saudara seagama dan saya hormat kepada warga emas sepertinya. 

Walaupun saya yakin nasihat penuh kasih sayang ini akan dibakul sampahkan saja, namun sekurang-kurangnya saya sudah melunaskan tanggungjawab kecil saya, bukan? Maafkan saya jika terkasar bahasa atau menyinggung jiwa, wallahua'alam...

No comments:

Bila Kak Su Bersuara... Heh!