Iklan Berbayar

Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Portal Berita Kedah

Saturday, November 23, 2013

Mat Sabu kalah atau menang, PAS tetap dibawah kaki PKR - DAP...

mat sabu

Hari ini nasib Muhamad bin Sabu akan ditentukan oleh 1,129 orang perwakilan PAS dari seluruh negara. Sama ada dia kekal sebagai Timbalan Presiden PAS, semuanya insyaAllah bakal terjawab selepas selesai proses pengundian jawatan nombor dua PAS tersebut. Mat Sabu dicabar oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebagaimana maklum, Mat Sabu sebenarnya tidaklah sekuat mana pengaruhnya. Meskipun bertanding di kubu kuat PAS di Parlimen Pendang yang menjadi pusat penyebaran fahaman Syi’ah di Kedah, dia tewas tertiarap dibenam penyokong sendiri. Khabarnya orang PAS di Pendang memang tak mahu “tokoh Syiah” bertapak di bumi mereka, siapa yang mereka maksudkan?

Dilaporkan bahawa perbahasan di sidang Dewan Ulama PAS yang berlangsung semalam memutuskan supaya jawatan Timbalan Presiden PAS diberikan kepada calon dari golongan ulama. Dengan keputusan sedemikian, dewan itu secara tidak langsung tolong berkempen bagi Nik Mohd Amar dan memberikan tamparan hebat buat Abang Mat…

Khabarnya, Dewan Ulama PAS mahu Timbalan Presiden PAS dipilih dari golongan ulama adalah bertujuan bagi merealisasikan tujuan, melaksanakan agenda dan mengembalikan landasan perjuangan parti itu pada asalnya.

Pada pandangan saya, jika benar golongan ulama PAS mahukan yang sedemikian, itu bukanlah bererti mereka menolak kepimpinan dari golongan profesional. Mungkin bagi Dewan Ulama, tugas golongan profesional cukuplah sekadar memberikan bantuan dari sudut teknikal dan biarlah golongan ulama yang mengemudi kembali parti itu.

Mungkin juga para golongan ulama PAS sedar dan sudah lama bersabar dengan keadaan parti mereka yang semakin caca merba, huru-hara dan serba tidak kena setelah menerima campur tangan yang keterlaluan khususnya dari golongan profesional yang cuba berlagak seperti alim ulama…

Mat Sabu bukanlah dari golongan ulama. Malah ada ketikanya, dia pernah dilabelkan sebagai golongan pelampau liberal yang diberi kesempatan di dalam PAS sebagai “meriam buluh” yang hanya kuat berbunyi tapi tidak memberikan sebarang kesan yang efektif.

Adakalanya pula, dia dilihat lebih cenderung pada golongan pro-Anwarinas meskipun dia adalah insan yang bertanggungjawab menggelar Anwar sebagai “Al-Juburi” suatu ketika dulu. Tapi sejak bersama PKR dan DAP, gelaran “Al-Juburi” yang disebut Mat Sabu itu tidak lagi kedengaran di dalam siri-siri ceramahnya seperti dulu…

Ketika heboh diperkatakan tentang isu fahaman Syi’ah yang digazetkan sebagai sesat, Mat Sabu adalah di antara tokoh pemimpin yang dikatakan berkait rapat dengan fahaman itu. Dengan kecetekan ilmu dan kedangkalan fahaman Islamnya, dia dilihat begitu mengagung-agungkan kepimpinan Syi’ah di Iran meskipun mereka-mereka itulah yang mengkafirkan sahabat-sahabat Rasulullah.

Saya tidak menuduh Mat Sabu berfahaman dan mengamalkan ajaran Syi’ah. Namun berdasarkan temubual dengan salah seorang pengasas pondok terkenal di Kelantan, Tok Guru tersebut berani berqasam mengatakan Mat Sabu berfahaman Syi’ah. Sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut, biarlah Mat Sabu, Tok Guru itu dan Allah saja yang tahu…

Berbanding dengan Nik Mohd Amar, beliau 100% dilabelkan sebagai golongan ulama. Dengan keterampilannya yang sederhana, perwatakan yang tidak melampau, tutur kata yang tidak menyakitkan hati, dia dilihat begitu disenangi oleh ramai pihak. Imejnya yang bersih mungkin dapat menarik undi para perwakilan PAS untuk mengundinya hari ini…

Sekiranya ditakdirkan Allah bahawa Nik Amar menang dan Mat Sabu kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS hari ini, agaknya apa yang akan berlaku? PAS akan kembali ke perjuangan asal? Hukum hudud akan dilaksanakan segera? PAS akan tukar kembali matlamatnya menubuhkan Negara Islam berbanding “Negara Kebajikan”?

Saya berpandangan agak mustahil semua itu akan terjadi. Agak mustahil PAS akan kembali ke perjuangan asalnya. Kenapa? Kerana Nik Aziz masih lagi berjawatan Mursyidul Am PAS…

Maksud saya, selama ini biarpun PAS punya Presiden dan Timbalan Presiden, kuasa veto yang ada pada Mursyidul Am PAS mampu menafikan segala pandangan, pendapat mahupun keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Misalnya, isu Kerajaan Perpaduan yang dimulakan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, yang kemudiaannya disambut positif oleh Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang. Selamba saja Nik Aziz “cantas” isu tersebut. Malah berkali-kali Mursyidul Am itu “menyerang” dan “menghentam kedua pemimpin tersebut.

Paling teruk yang kena ialah Ustaz Nasharuddin lah! Teruk “dibelasah” dan dipinggirkan terus dari saf kepimpinan PAS sehingga kini, bukan?

Kalau begitulah kuasa yang ada pada Mursyidul Am PAS, maka tak payahlah ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Majlis Syura, Dewan Ulama dan sebagainya. Cukuplah sekadar ada jawatan Mursyidul Am PAS. Namun jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS perlu ada. Manalah tahu kalau terjadi apa-apa pada Mursyidul Am “seumur hidup”, kan?

Berbalik pada perebutan di antara Mat Sabu dan Nik Mohd Amar, saya berpandangan bahawa sekiranya Mat Sabu tewas, dia tetap akan dilantik sebagai AJK PAS Pusat atas kuasa lantikan Presiden. Maklumlah, Abang Mat orang lama. Walaupun “berkudis” dan “berkurap”, orang macam Mat Sabu memang perlu untuk memenuhkan korum kepimpinan PAS…

Apapun kita tunggu saja keputusan pengundian hari ini. Kalau Mat Sabu menang, maka itu bererti para perwakilan menolak keputusan sebulat suara golongan ulama. Tapi kalau Mat Sabu kalah, pada saya ia tidak akan membawa sebarang perubahan di dalam PAS. PAS tetap akan terus berada di bawah kaki PKR dan DAP…insyaAllah!

Sumber: Mykmu.net

Sampai bila Nik Aziz dan PAS mahu permainkan hudud Allah?

buku-jingga-anwar-mana-ada-hudud

Sebagaimana siri-siri Muktamar PAS yang lepas-lepas, siri Muktamar parti itu kali ini juga tidak terlepas dari polemik berkenaan melaksanakan hukum hudud. Malah sebelum Muktamar PAS diadakan, isu hukum hudud ini sudah mula ditimbulkan apabila Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan menyatakan kesediaan melaksanakan hukum tersebut.

Pun begitu, saf kepimpinan Kerajaan PAS Negeri Kelantan memandang sepi kesediaan Jabatan Kehakiman Syariah negeri itu dan dilihat cuba “melarikan diri” dari menyentuh soal yang pernah dijanjikan PAS sejak tahun 1990 lagi. Dan perkara itu terus meleret-leret…

Beberapa pemimpin DAP tampil marah-marah dan menggesa PAS supaya tidak melaksanakan hudud di Kelantan. Timbal balasnya, beberapa pemimpin PAS termasuk calon yang bertanding Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia cuba bergaduh dengan DAP mengenai soal perlaksanaan hudud itu.

Ditambah pula dengan kenyataan Karpal Singh yang mahu parti politik yang berasaskan agama diharam dan dibubarkan, makin menjadi-jadilah drama di antara PAS dan DAP. PAS suruh Karpal minta maaf. Tapi sampai sekarang Karpal buat “derkkkk” saja, langsung tiada rasa bersalah menempelak PAS secara sinis…

Terbaru, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berjanji melaksanakan hudud ketika berkempen pilihanraya pada tahun 1990 bersuara mengenai hudud di Kelantan. Katanya, dia optimis hudud akan dilaksanakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Di dalam satu perjumpaan bersama Tok-Tok Guru Pondok dari Kelantan yang saya kira lebih tinggi ilmu dan kefahaman Islamnya berbanding Nik Aziz, masih terngiang-ngiang di cuping telinga saya dengan keluhan mereka terhadap janji Mursyidul Am itu dan kepimpinan PAS berkenaan perlaksanaan hukum hudud.

Kata mereka, ketika berkempen, para pemimpin PAS inilah yang berjanji akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan sejurus selepas ayam jantan berkokok dikala subuh hari jika parti mereka berkuasa di negeri itu. Itu janji mereka (PAS) pada kempen pilihanraya di tahun 1990 dulu.

Bila sudah berkuasa, bukan saja ayam jantan sudah berjuta kali berkokok, malah ayam jantan itu pun sudah hilang nyawa, namun hudud masih belum dilaksanakan di Kelantan. Bila ditanya, “kita sedang usahakan”, itulah jawapan mereka meskipun sudah lebih tiga tahun (1993).

Hatta selepas berkali-kali pilihanraya umum dilaksanakan, hukum hudud masih belum dilaksanakan PAS di Kelantan. Bila diungkit kembali, jawapan yang diberikan kepada Tok-Tok Guru Pondok itu ialah “PM (Tun Dr. Mahathir) tolak dan tak benarkan hudud dilaksanakan di Kelantan”.

Kata Tok-Tok Guru itu, meskipun mereka hanyalah Tok-Tok Guru Pondok, mereka tidaklah bodoh dan jumud untuk ditipu Mursyidul Am PAS dan kepimpinan PAS Kelantan itu. Kata mereka, mereka sedar bahawa terdapat kepincangan dan pelbagai kelemahan di dalam draf hudud yang dipohon PAS untuk dilaksanakan di Kelantan.

Kata mereka, mereka juga tidak mahu hudud yang tidak adil dilaksanakan di negeri Serambi Mekah itu. Mereka malu jika hukum Allah yang dicipta dan didraf PAS Kelantan itu dikatakan tidak adil. Mereka tak mahu Islam dipersalahkan di atas kelemahan dan kekurangan ilmu syariah PAS tersebut.

Kata mereka, kalau ada kepincangan yang dilihat di dalam draf tersebut, mengapa PAS Kelantan tidak berusaha mengatasi segala kekhilafan itu? Mengapa PAS berputus asa hanya dengan tiga kali membuat draf hudud sahaja? Kenapa PAS tidak terus mengkaji dan terus berusaha untuk sempurnakan kekhilafan tersebut?

Ketika itu timbullah dakwaan dari Tok-Tok Guru Pondok itu menyatakan bahawa sebenarnya PAS sememangnya tidak mampu untuk menjayakan perlaksanaan hudud di Kelantan. Malah PAS dikatakan tidak mampu beristiqamah dalam perjuangan melaksanakan hudud. Paling teruk, PAS dikatakan hanya “menyanyikan lagu hudud” untuk memancing undi dan mengabui mata umat Islam supaya menyokong parti itu!

Itulah jadinya bila hukum Allah dijadikan “barang perniagaan” oleh PAS. Saya kira, Allah SWT tidak pernah redha jika agamaNya itu diperdagangkan sebegitu rupa. Kononnya untuk Islam, padahal nak siapkan draf pun tidak mampu, apatah lagi untuk melaksanakan hukum Allah tersebut?

Pada tahun 2011, kedengaran pula PAS nak usahakan kembali perlaksanaan hukum hudud. Kononnya sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk tujuan itu. Namun baru-baru ini pecah tembelang apabila PAS mengaku bahawa jawatankuasa itu tidak pernah bermesyuarat dan hanya mengadakan 4 kali pertemuan tidak rasmi sahaja. Habis? Macam mana nak laksanakan jika tiada usaha serius?

Sepatutnya PAS mengambil contoh Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan yang sudah bersedia melaksanakan hudud sejak tahun 1993 lagi. Ketika PAS mengambil alih Kelantan pada tahun 1990 dulu, Jabatan berkenaan telah mula berusaha mempersiapkan diri untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Namun seperti Tok-Tok Guru Pondok di Kelantan, penantian Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan untuk melaksanakan hudud sehingga sekarang masih belum menjadi kenyataan. Hudud terus meniti di bibir para pemimpin PAS, tapi sampai sekarang “habuk pun tiada”. Kalau menurut Rasulullah SAW, apakah hukum bila seorang muslim tidak menepati janji? Dari golongan apakah mereka yang mungkir janji?

Sebagai salah seorang umat Islam, saya sebenarnya menyokong penuh usaha mana-mana pihak yang mahu melaksanakan hudud. Tak kira PAS atau UMNO, asalkan hudud itu hudud Allah, maka saya sokong sepenuhnya. Tapi kalau hanya pandai janji dan kemudian berlaku munafik, cuba beritahu macam mana saya nak sokong golongan munafik itu? Takkanlah kita umat Islam nak sokong golongan munafik pula, kan?

Sumber: Mykmu.net

Perwakilan PAS mengamuk berdemo di Muktamar?

pas silap undi

Agak kecoh semalam dibicarakan tentang insiden penangguhan sementara undian bagi memilih Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam. Khabarnya penangguhan itu disebabkan “ter”salah edar kertas undi pada para perwakilan dan mereka dikehendaki mengundi semula nanti.

Menurut laporan media, proses pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden berjalan lancar seperti biasa. Dan penangguhan pengundian itu hanya melibatkan jawatan AJK PAS Pusat itu sahaja.

Baiklah. Sebagai manusia, saya faham bahawa seluruh jawatankuasa pemilihan PAS kali ini juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Mungkin yang terjadi itu hanyalah kesilapan teknikal yang melibatkan “ter”salah edar kertas undi. Itu tidak menjadi masalah kerana saya yakin PAS mampu mengatasi masalah tersebut.

Biasalah. Manusia mana yang sempurna, bukan? Hanya Rasulullah SAW sahaja yang sempurna dan layak digelar maqsum di muka bumi Allah ini.

Pada pemilihan PAS kali ini, jawatankuasa yang dilantik PAS itu hanya perlu menjalankan proses pengundian untuk seramai 1,129 orang perwakilan sahaja. Maksudnya, hanya sejumlah itu saja yang akan mengundi pada Muktamar PAS kali ini bagi memilih AJK PAS Pusat yang baharu.

Berbanding dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang hanya memiliki kekuatan lebih kurang 700 orang tenaga tetap dan sementara, mereka terpaksa meneliti seramai 13,291,385 orang pengundi dari segenap ceruk rantau di negara ini. Saya ulang, SPR perlu berhadapan dengan lebih 13 juta orang pengundi pada PRU ke-13 yang lalu.

Selain itu, SPR juga perlu menapis sebarang kekhilafan di dalam data daftar pemilih di mana ada dikalangan para pengundi yang sudah meninggal dunia masih kekal nama mereka di dalam pengkalan data ekoran kematian mereka tidak dilaporkan kepada SPR (kebanyakkannya hanya dilaporkan di balai polis sahaja).

Begitu juga SPR perlu menambah senarai pengundi baru yang bilangannya beratus-ratus ribu bilangannya setiap kali mengundi. Sudah tentu segala proses memadam nama, menambah nama dan menyemak daftar pengundi itu terlalu rumit serta “menjulingkan mata” sesiapa saja, bukan?

Justeru itu, PAS perlulah bertimbang rasa, bertolak ansur dan faham tentang kepayahan SPR menguruskan daftar pengundi di seluruh negara, bukan?

Maksud saya, kalau PAS boleh tersilap menguruskan proses pengundian bagi 1,129 orang pengundi dan dimaafkan kekhilafan itu, takkanlah PAS tidak boleh maafkan SPR yang terpaksa “menjulingkan mata”, “memerah otak” dan tenaga yang terhad untuk memproses lebih 13 juta pengundi di seluruh tanahair?

Apakah PAS begitu kejam dan zalim sehingga tidak mampu berfikir secara waras untuk bertolak ansur, bersifat memaafkan dan menerima sedikit kelemahan SPR? SPR juga manusia biasa seperti Jawatankuasa Pemilihan PAS yang tidak terlepas dari kesilapan juga, kan?

Usahlah PAS terpengaruh dan terikut-ikut dengan dakyah dan sikap busuk hati DAP dan PKR yang memburuk-burukkan pihak SPR. Pemilihan DAP sendiri kucar-kacir dan kecoh sana sini, pemilihan PKR juga menyaksikan kerusi, penumbuk, sepak dan terajang berterbangan sesama mereka, apakah PAS masih lagi mahu membiarkan diri dipengaruhi oleh golongan yang “kurang betul” itu?

Sesetengah rakan saya menyifatkan insiden penangguhan proses undi AJK PAS Pusat itu sebagai satu “tulah” atau “karma” bagi PAS yang sebelum ini turut memburuk-burukkan SPR pada PRU yang lalu. Kata mereka, “Allah bayar cash di dunia” bagi segala kutukan yang PAS lemparkan pada SPR.

Namun pada saya, “buang yang keruh, ambillah yang jernih”. PAS perlu kembali ke jalan yang benar. Bukan kembali ke jalan asal PAS, tapi kembalilah ke jalan Allah yang hakiki, jalan lurus yang diredhai. Bukan jalan politik yang bersifat duniawi. Bukankah hidup di dunia ini hanyalah ujian sebelum ke akhirat?

Justeru itu, PAS harus bermuhasabah diri kembali. Kenali diri sendiri dan betulkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum memperbetulkan pihak lain. Kalau PAS sudah di landasan yang betul, perbetulkan pula PKR dan DAP yang kini menjadi sahabat-sahabat PAS. Seterusnya barulah PAS akan dihormati UMNO dan BN.

Yang peliknya, apa yang saya dan rakyat lihat selama PAS di dalam Pakatan Haram, PKR dan DAP pula yang sering menafikan perjuangan dan memalukan PAS dengan pelbagai polisi yang bertentangan dengan Islam! Siapa yang betulkan siapa? Harap PAS renung-renungkanlah kebenaran ini dan elakkanlah menuding jari pada pihak lain.

Bak kata ulama, “hasib nafsaka qabla an tuhasib” – perhitunglah diri kamu sebelum kamu diperhitungkan…Wallahu’alam.

Sumber: Mykmu.net

Sampai bila PAS akan terus dipermain lelaki ini...?

Anwar-Election-352x199
Hari ini terpampang di dada akhbar tentang kritikan-kritikan dan gesaan terhadap Anwar Ibrahim. Ada yang mahu dia letak jawatan, ada yang mahu dia saman Keadilan Daily, ada yang menghentam dan mencabar kreadibiliti Ketua Pembangkang itu. Semuanya gara-gara dakwaan Anwar yang kononnya BN mengimport 40,000 pengundi Bangla pada PRU-13 yang lalu untuk mengundi BN…

Saya rasa segala kritikan dan gesaan itu tidak berbekas bagi Anwar. Bukan sekali dua dia didesak dan didedahkan segala kelicikan permainan dosanya, tapi dia tetap tidak berubah. Malah lebih menjadi-jadi pula dia. Peliknya, masih ada lagi rakyat di negara ini yang terpengaruh dengan pidato bohongnya itu. Mungkin memang itu kepakaran Anwar yang Allah berikan padanya…

Meskipun Anwar menafikan dirinya bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan itu, namun rasanya satu Malaysia tahu dan setuju bahawa bapa Nurul Izzah itu pernah melemparkan fitnah itu sebelum PRU ke-13 tempohari, bukan? Bukan apa, memang terbukti pun Anwar pernah mengeluarkan tuduhan begitu di Keadilan Daily. Bukti kenyataan pun ada, kan?

Dalam menafikan kezaliman fitnahnya terhadap BN itu, masih lagi dia cuba nak cetus kontroversi? Kononnya BN rancang untuk mendaftar seramai 500,000 pengundi dari Bangla dengan bantuan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR)? Tak habis-habis lagi? Masih belum serik dengan dosa fitnah dan syubhah?

Saya tertanya-tanya, bila lagi Anwar nak berhenti dan bersara dari semua ini?

Sudah-sudahlah, Pak Syiekh. Kalau tak malu pada isteri, anak dan cucu sekali pun, malulah pada Allah SWT. Dia tahu segala pembohongan dan permainan fitnah dari Pak Syiekh itu. Tak takutkah nanti nak bertemu denganNya di akhirat kelak? Atau Anwar lebih redha untuk bersama iblis laknatullah ketika itu?

Berbalik pada dakwaan 40,000 Bangla yang kononnya dibawa masuk di Malaysia untuk mengundi BN tempohari, saya mengesyorkan pada Anwar supaya menjejak kembali mengenai idea tersebut. Dari manakah terbitnya idea fitnah itu? Dari dirinya atau dari syaitan? Atau dari rakan-rakan di sekelilingnya?

keadilan daily 40k bangla

Sila tanya Sidiqin Omar, wartawan Keadilan Daily yang bertanggungjawab menulis laporan tersebut di lidah rasmi PKR itu pada 3 Mei 2013 lalu. Tanya editorial Keadilan Daily mengenai siaran laporan berkenaan. Bukan apa, ramai yang dapat “print screen” laporan itu dengan jelas. Semua faham kandungan laporan itu kecuali mereka yang tak faham Bahasa Melayu.

Bukan apa, idea itu memang dari awal tidak masuk dek akal dan sangat mudah dipatahkan. Sebulan lebih fitnah itu dijaja ke serata negara, tapi dapat dipatahkan dengan begitu mudah sehingga ramai yang jelak dan malas nak dengar dakwaan tersebut. Ramai yang tidak percaya dan geleng kepala. Ingat senang nak bawa 40,000 orang Bangla masuk Malaysia dan jadi pengundi? Mustahil..!

Beginilah. Kalau dah terbukti “kantoi”, mengaku sajalah. Kemudian mohon maaf secara terbuka dan tak perlulah nak berdolak-dalik. Malulah pada Allah SWT. Bukankah malu itu sebahagian dari iman? Kalau Allah angkat dan buang rasa malu itu dari hambaNya, maka samalah hambaNya itu dengan haiwan yang tiada rasa malu..kan?

Pesan saya pada para penyokong Pak Syiekh, saya tidak meminta anda semua meninggalkan dia. Jauh sekali memutuskan silaturrahim dengannya. Cuma, selamatkanlah dia dari terus hanyut bertuhankan politik. Dan jika dia enggan dan berdegil, tolonglah jauhkan diri darinya dan mohonlah supaya dia diberi hidayah serta kembali ke jalan yang benar.

Persoalannya, beranikah Wan Azizah, Nurul Izzah, Rafizi, Zuraida dan rakan-rakan Islam Anwar di dalam PKR memulakan gerakan menyelamatkan Anwar? Entahlah. Silap-silap, nak buka mulut pun tak berani, apatah lagi nak bersuara. Wallahu’alam…

Sumber: Mykmu.net

Friday, November 22, 2013

Muktamar PAS: Apakah PAS akan kembali ke pangkal jalan?

Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Allahu Akbar... walillahilhamdu. Alhamdulillah, selesai sudah menunaikan ibadah rukun Islam yang ke-5 dan kini saya kembali ke tanahair. Kembali sebagai imam dan khalifah bagi diri saya dan keluarga...

Rasa rindu sekali untuk menulis di blog ni. Namun ketika di tanah suci, saya lebih memilih untuk menumpukan diri sepenuhnya kepada Azza Wa Jalla... Saya redha atas segalanya dan menyerahkan diri padaNya yang mencipta saya serta sekelian alam...

Hari ni saya berkesempatan dan meluangkan sedikit masa untuk menulis di blog. InsyaAllah, gaya penulisan dan pemikiran saya tetap kritis seperti sebelumnya. Namun yang paling penting, segalanya akan dirujuk dulu pada Islam dalam apa jua perkara sekali pun..insyaAllah. 

Pun begitu, kalau saya agak terpesong, tolong-tolonglah ingatkan saya dengan teguran yang membina..saya juga manusia biasa yang tidak terlepas dari kekhilafan...bukan?

Pertamanya, saya ucapkan tahniah pada Saudara Suhaizan Kayat kerana berjaya meletakkan diri sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) baru-baru ini. Juga pada Timbalannya, Ust Mohd Khalil Abdul Hadi, yang juga anak lelaki kepada Presiden PAS, Ayah Chik...

Harapan saya supaya DPPM tidak lagi jadi Dewan "buih Pepsi Cola". Lawan DAP dan PKR habis-habisan yang hampir meranapkan identiti dan jatidiri PAS sebelum ni. Itupun kalau DPPM sayangkan perjuangan PAS laaa...kan? Heh!

Cuma, saya ingin berpesan pada Saudara Zulhazmi Sharif, calon Timbalan DPPM dari Kedah yang tewas dengan 7 undi supaya jangan kecewa. Cuba lagi next time.. biasalah.. adat menang kalah dalam bertanding...

Tapi kalau tak puas hati, boleh la jugak mintak Jawatankuasa Pemilihan PAS semak balik keputusan tu. Pelik gak dapat 7 undi ja.. setahu saya, DPPM di Kedah ni ada lebih dari 7 kawasan... takkan la DPPM kat Kedah ni tak support calon dari Kedah kot..?

Anyway, saya lebih suka untuk menumpukan perhatian pada pertandingan Timbalan Presiden PAS dan Naib-Naibnya kali ni.. Apakah para perwakilan PAS nak simpan lagi Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden? Takkan masih tak kenal siapa sebenarnya Mat Sabu? Hmmmm...

Camana pulak dengan Naib-Naib? Saya berpandangan, wajar dikekalkan Salehuddin Ayyub. Walaupun bukan dari golongan ulama, tapi dia cukup menghormati dan akur pada keputusan golongan ulama.. camana?

Masih nak kekalkan Mahfuz Omar? "Penglipur lara" a.k.a "tukang karut" PAS dalam setiap ceramah dengan jenaka-jenaka yang tidak berfaedah dan syubhah? Entahlah... 

Untuk dua lagi seat Naib, saya serahkan pada para perwakilan.. PRU ke-13 hari tu, PAS dah kena "penangan perit". PAS digula-gula dan berkali-kali dikuda-kudakan DAP dan PKR. PAS rugi besar dan ramai orang PAS sendiri yang marah-marah...

Apa resipi untuk kembalikan jati diri dalam PAS? Sendiri fikir la brooo... takkan itu pun saya nak ajar kot? kan? kan? kan? heh!

Bila Kak Su Bersuara... Heh!