Iklan Berbayar

Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Portal Berita Kedah

Thursday, December 19, 2013

Nak tanya sikit... Dah puas kutuk Kerajaan BN?

timthumb

Sudah puas mengutuk Kerajaan ekoran kenaikan harga tol? Belum puas? Silalah kutuk lagi kerana saya yakin pihak Kerajaan takkan dapat menutup mulut kita dari terus mengutuk mereka. Apatah lagi berkenaan kenaikan kadar tol di bandar-bandar yang dikatakan bertentangan dengan manifesto BN pada PRU13 yang lalu.

Sejak diumumkan tentang kenaikan sedikit kadar tol, ramai yang kononnya tertekan bangkit menghentam Kerajaan. Yang kononnya menyokong dan berada di bangku kerajaan pun turut seirama dengan pihak pembangkang yang siang malam menyebut tentang isu kenaikan kadar tol.

Ditokok tambah bagi menyedapkan “perisa”, disebut juga berkenaan kenaikan harga petrol yang mendominokan kenaikan harga barangan lain, harga gula, kenaikan kadar tarif elektrik, tiket LRT dan sebagainya. Meriah sungguh mereka menghentam kerajaan.


Ada yang mengatakan kerajaan tidak prihatin, mungkin janji dan tidak cakap serupa bikin. Ada yang mengecam menuduh kerajaan zalim dan menekan hidup rakyat. Ada pula yang berhujah mengatakan TNB dan PLUS untung besar dan tidak wajar menaikkan kadar elektrik dan tol.

Golongan muda kata, tindakan kerajaan menaikkan kos sara hidup itu menekan mereka. Mereka tertekan nak kahwin, beli kereta dan beli rumah. Pada mereka, mungkin semua kenaikan itu akan menyebabkan mereka tidak mampu kahwin, beli kenderaan dan memiliki rumah nanti…

Kesimpulan dari kutukan terhadap kerajaan itu, mereka yang tidak berpuas hati mendakwa bahawa kos sara hidup mereka telah naik mendadak dan hidup mereka tertekan ekoran tersebut. Jadi, pada 31 Disember 2013 nanti mereka nak adakan himpunan bantahan di ibu negara. Maka kita bolehlah tengok pihak pembangkang dan “so called” penyokong kerajaan sama-sama berdemo nanti, kan?

Baiklah. Saya tidak mampu menafikan bahawa isu ini memberi kesan pada kehidupan saya. Kalau dulu saya boleh menonton wayang di pawagam, mungkin sekarang tidak lagi. Kalau dulu saya boleh merokok, mungkin sekarang saya perlu berhenti. Kalau dulu saya mampu makan di restoran besar dan minum di coffee house mahal, mungkin saya sekarang saya perlu berubah makan di rumah dan “ngeteh” di rumah saja bersama rakan atau keluarga…

Kalau dulu saya memandu 100 kmh di jalan biasa, sekarang saya perlu memandu 60-80 kmh sejam mengikut had laju yang ditetapkan. Kalau sebelum ini saya memecut 140 kmh di lebuhraya, sekarang saya perlu memandu di bawah 110 kmh sahaja. Bukan apa, saya boleh jimat kos petrol dan kurangkan kadar kemalangan…

Kalau dulu saya buka “aircond” di rumah 24 jam, mungkin sekarang hanya sekitar 5-6 jam sahaja sehari. Kalau dulu saya boleh biarkan saja lampu bilik, bilik air, kipas, televisyen dan sebagainya terbuka tanpa digunakan, kini tidak boleh lagi.

Kalau dulu saya boleh “cuti-cuti satu Malaysia” 3-4 kali setahun, mungkin kini saya perlu hadkan hanya 1-2 kali sahaja. Kalau dulu saya agak boros berbelanja mengikut kehendak, mungkin sekarang saya perlu mengutamakan keperluan terlebih dahulu berbanding kehendak nafsu…

Saya tersenyum sinis melihat anak muda membantah isu kenaikan kos sara hidup ini. Mereka berseluar jeans Levis, bajunya berjenama terkenal, kasutnya kulit tulen, dijari ada cincin besar batunya dihiasi sebatang rokok terselit, rambutnya tercacak ke atas keras dan kemudian boleh pula “pekena” kopi Starbuck selesai berdemo membantah kenaikan kos sara hidup. Penat kot…

Cara hidup mereka diserikan dengan 2 buah telefon bimbit pintar siap pakej berinternet, seminggu sekali bawa awek keluar berdating di SOGO (mungkin sambil berdemo), wayang sudah menjadi acara wajib, tidak kisah membayar sekitar RM10 ke atas di KFC yang kenyangnya hanya untuk seorang…

Itu belum lagi disebut tentang motorsikal Yamaha 125Z, Kriss-Kriss tak mainlah! Ada duit PTPTN, mereka berkonvoi “cuti-cuti” bila cuti semester dan menginap di hotel. Kalau yang berkereta Myvi, mahu di”convert” jadi Passo, dan kalau pakai Wira atau Saga, dihabiskan wang pula menjadikannya “Evo”! Hebat!

Kalau dilihat dari sudut asas, kalau begitulah cara kehidupan mereka, rasanya diberi gaji RM10,000 sebulan pun tidak cukup. Kalau gajinya RM1,500 sebulan, mereka pakai Yamaha 125Z dan mungkin jika gaji mereka RM10,000 maka mereka berkereta mewah memecut laju di lebuhraya, bukan? Rugilah kereta mahal dipandu 110 kmh saja, mungkin itu cara otak “bijak” mereka berfikir…

Pada saya, kenaikan kos sara hidup itu pada asasnya sangat berhikmah jika dirujuk pada konsep Islam. Islam suruh kita berjimat dan bersederhana. Selama ini mungkin kita terlalu leka dengan pelbagai kehendak nafsu dan serakah. Namun kini secara tidak langsung kita akan berjimat dan berhati-hati bila berbelanja, bukan?

Dengan penjimatan tersebut, bukan saja kita dapat menabung lebih bagi simpanan masa depan, malah kita mampu membantu pembangunan ekonomi negara selain melangkah ke arah budaya tamadun dunia maju. Selain itu, dengan wang yang dijimatkan, maka bolehlah kita menampung kos sara hidup yang meningkat itu, bukan?

Pentingnya, sila rujuk gaya hidup Islam untuk mengatasi kenaikan kos sara hidup tersebut.

Saya bukanlah menulis bertujuan untuk membodek kerajaan. Kerajaan telah memerah otak memikirkan yang terbaik untuk rakyat dan negara. Takkanlah Kerajaan sengaja nak susahkan rakyat? Saya yakin Kerajaan tak mahu kalah pada PRU ke-14 nanti. Dan kita pula yang terkesan perlu mencari jalan keluar bagi mengatasi masalah ekoran kenaikan kos sara hidup itu.

Masalahnya, segelintir rakyat di negara kita memang suka jadi “batu api” dan ada pula yang suka “menyimbah petrol”. Mungkin mereka sengaja buat demikian bagi mencetus kemarahan rakyat yang mungkin panik dengan perubahan tersebut. Bila “api sudah marak”, maka mudahlah mereka “Arab Spring”kan Malaysia, bukan?

Saya sebenarnya agak terkilan dengan segelintir pihak yang kononnya di bangku kerajaan dan “seirama” dengan pembangkang. Mereka seolah-olah tidak berfikir panjang sebelum berkata-kata, apatah lagi memberi kenyataan pada media. Harapnya, mereka memperbetulkan kembali peranan mereka sebagai “penyokong Kerajaan”.

Saya tidak meminta mana-mana pihak untuk bersetuju dengan pandangan saya. Namun melihat secara positif terhadap isu kenaikan kos sara hidup ini, saya perlu memikirkan sesuatu tentang keadaan ekonomi saya. Dan bila saya rujuk pada Islam sebagai rujukan pertama, terus saya terlihat hikmah di sebaliknya.

Anda bagaimana? Masih mahu terus mengutuk kerajaan? Silakan kerana saya tidak mampu melarang. Cuma sebelum mengutuk mana-mana pihak, sila fikirkan dulu soal “dosa” dan “pahala”…

Sumber: Mykmu.net

No comments:

Bila Kak Su Bersuara... Heh!