Iklan Berbayar

Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Portal Berita Kedah

Saturday, November 23, 2013

Sampai bila Nik Aziz dan PAS mahu permainkan hudud Allah?

buku-jingga-anwar-mana-ada-hudud

Sebagaimana siri-siri Muktamar PAS yang lepas-lepas, siri Muktamar parti itu kali ini juga tidak terlepas dari polemik berkenaan melaksanakan hukum hudud. Malah sebelum Muktamar PAS diadakan, isu hukum hudud ini sudah mula ditimbulkan apabila Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan menyatakan kesediaan melaksanakan hukum tersebut.

Pun begitu, saf kepimpinan Kerajaan PAS Negeri Kelantan memandang sepi kesediaan Jabatan Kehakiman Syariah negeri itu dan dilihat cuba “melarikan diri” dari menyentuh soal yang pernah dijanjikan PAS sejak tahun 1990 lagi. Dan perkara itu terus meleret-leret…

Beberapa pemimpin DAP tampil marah-marah dan menggesa PAS supaya tidak melaksanakan hudud di Kelantan. Timbal balasnya, beberapa pemimpin PAS termasuk calon yang bertanding Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia cuba bergaduh dengan DAP mengenai soal perlaksanaan hudud itu.

Ditambah pula dengan kenyataan Karpal Singh yang mahu parti politik yang berasaskan agama diharam dan dibubarkan, makin menjadi-jadilah drama di antara PAS dan DAP. PAS suruh Karpal minta maaf. Tapi sampai sekarang Karpal buat “derkkkk” saja, langsung tiada rasa bersalah menempelak PAS secara sinis…

Terbaru, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berjanji melaksanakan hudud ketika berkempen pilihanraya pada tahun 1990 bersuara mengenai hudud di Kelantan. Katanya, dia optimis hudud akan dilaksanakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Di dalam satu perjumpaan bersama Tok-Tok Guru Pondok dari Kelantan yang saya kira lebih tinggi ilmu dan kefahaman Islamnya berbanding Nik Aziz, masih terngiang-ngiang di cuping telinga saya dengan keluhan mereka terhadap janji Mursyidul Am itu dan kepimpinan PAS berkenaan perlaksanaan hukum hudud.

Kata mereka, ketika berkempen, para pemimpin PAS inilah yang berjanji akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan sejurus selepas ayam jantan berkokok dikala subuh hari jika parti mereka berkuasa di negeri itu. Itu janji mereka (PAS) pada kempen pilihanraya di tahun 1990 dulu.

Bila sudah berkuasa, bukan saja ayam jantan sudah berjuta kali berkokok, malah ayam jantan itu pun sudah hilang nyawa, namun hudud masih belum dilaksanakan di Kelantan. Bila ditanya, “kita sedang usahakan”, itulah jawapan mereka meskipun sudah lebih tiga tahun (1993).

Hatta selepas berkali-kali pilihanraya umum dilaksanakan, hukum hudud masih belum dilaksanakan PAS di Kelantan. Bila diungkit kembali, jawapan yang diberikan kepada Tok-Tok Guru Pondok itu ialah “PM (Tun Dr. Mahathir) tolak dan tak benarkan hudud dilaksanakan di Kelantan”.

Kata Tok-Tok Guru itu, meskipun mereka hanyalah Tok-Tok Guru Pondok, mereka tidaklah bodoh dan jumud untuk ditipu Mursyidul Am PAS dan kepimpinan PAS Kelantan itu. Kata mereka, mereka sedar bahawa terdapat kepincangan dan pelbagai kelemahan di dalam draf hudud yang dipohon PAS untuk dilaksanakan di Kelantan.

Kata mereka, mereka juga tidak mahu hudud yang tidak adil dilaksanakan di negeri Serambi Mekah itu. Mereka malu jika hukum Allah yang dicipta dan didraf PAS Kelantan itu dikatakan tidak adil. Mereka tak mahu Islam dipersalahkan di atas kelemahan dan kekurangan ilmu syariah PAS tersebut.

Kata mereka, kalau ada kepincangan yang dilihat di dalam draf tersebut, mengapa PAS Kelantan tidak berusaha mengatasi segala kekhilafan itu? Mengapa PAS berputus asa hanya dengan tiga kali membuat draf hudud sahaja? Kenapa PAS tidak terus mengkaji dan terus berusaha untuk sempurnakan kekhilafan tersebut?

Ketika itu timbullah dakwaan dari Tok-Tok Guru Pondok itu menyatakan bahawa sebenarnya PAS sememangnya tidak mampu untuk menjayakan perlaksanaan hudud di Kelantan. Malah PAS dikatakan tidak mampu beristiqamah dalam perjuangan melaksanakan hudud. Paling teruk, PAS dikatakan hanya “menyanyikan lagu hudud” untuk memancing undi dan mengabui mata umat Islam supaya menyokong parti itu!

Itulah jadinya bila hukum Allah dijadikan “barang perniagaan” oleh PAS. Saya kira, Allah SWT tidak pernah redha jika agamaNya itu diperdagangkan sebegitu rupa. Kononnya untuk Islam, padahal nak siapkan draf pun tidak mampu, apatah lagi untuk melaksanakan hukum Allah tersebut?

Pada tahun 2011, kedengaran pula PAS nak usahakan kembali perlaksanaan hukum hudud. Kononnya sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk tujuan itu. Namun baru-baru ini pecah tembelang apabila PAS mengaku bahawa jawatankuasa itu tidak pernah bermesyuarat dan hanya mengadakan 4 kali pertemuan tidak rasmi sahaja. Habis? Macam mana nak laksanakan jika tiada usaha serius?

Sepatutnya PAS mengambil contoh Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan yang sudah bersedia melaksanakan hudud sejak tahun 1993 lagi. Ketika PAS mengambil alih Kelantan pada tahun 1990 dulu, Jabatan berkenaan telah mula berusaha mempersiapkan diri untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Namun seperti Tok-Tok Guru Pondok di Kelantan, penantian Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan untuk melaksanakan hudud sehingga sekarang masih belum menjadi kenyataan. Hudud terus meniti di bibir para pemimpin PAS, tapi sampai sekarang “habuk pun tiada”. Kalau menurut Rasulullah SAW, apakah hukum bila seorang muslim tidak menepati janji? Dari golongan apakah mereka yang mungkir janji?

Sebagai salah seorang umat Islam, saya sebenarnya menyokong penuh usaha mana-mana pihak yang mahu melaksanakan hudud. Tak kira PAS atau UMNO, asalkan hudud itu hudud Allah, maka saya sokong sepenuhnya. Tapi kalau hanya pandai janji dan kemudian berlaku munafik, cuba beritahu macam mana saya nak sokong golongan munafik itu? Takkanlah kita umat Islam nak sokong golongan munafik pula, kan?

Sumber: Mykmu.net

No comments:

Bila Kak Su Bersuara... Heh!