Tidak jauh dari Felda Sahabat Residence, sebuah rumah peranginan yang
terletak berhampiran kawasan konflik pencerobohan pengganas militan
Sulu, tidak ramai yang menyedari ada sebuah ‘rumah kecil’ yang agak
tersorok.
Namun penghuni ‘rumah kecil’ itu bukan sebarangan, ia menempatkan
enam ekor anjing dari baka German Shepherd, antara 10 jenis anjing yang
diiktiraf paling bahaya dalam dunia.
Masing-masing ada nama tersendiri…Budi, Tanjung, Anjung, Umas, Sakti dan Cikau.
Milik pasukan polis bantuan Felda, kesemua anjing ini telah mendapat
latihan secukupnya dari jurulatih anjing Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tinjauan Mynewshub.my di kandang anjing tersebut, ternyata kelibat haiwan ini sungguh menggerunkan.
Sebaik sahaja melangkah ke dalam kandang itu, anjing-anjing ini
mengeluarkan salakan yang cukup kuat, melompat-lompat dalam sangkar
masing-masing seolah-olah tak sabar untuk ‘membunuh’ kami.
Menurut salah seorang anggota Unit K9 Polis Bantuan Felda Sahabat,
pihaknya bersedia menggerakkan anjing-anjing ini bila-bila masa saja
jika khidmat haiwan tersebut diperlukan.
” Walaupun zon konflik seperti di Kampung Tanduo dan Kampung
Tanjung Batu bukan terletak dalam kawasan penempatan Felda Sahabat,
tetapi kami sentiasa berkerjasama dengan pihak PDRM dari segi risikan,
operasi dan sebagainya.
” Bahkan Unit K9 sendiri sanggup bergerak ‘ke dalam’ sekiranya diperlukan, 24 jam, tiada masalah,” katanya bersemangat.
Katanya, pihaknya berbangga kerana anjing-anjing ini telah banyak
menyelesaikan masalah jenayah dalam Felda Sahabat terutama yang
melibatkan kes pecah rumah dan sebagainya.
Sebagai contoh, katanya, anjing bernama Budi ini telah beberapa kali
berjaya menghidu pergerakan penjenayah hingga membolehkan pihaknya
memberkas suspek di penempatan Felda di situ.
Budi juga, katanya, mahir dalam selok belok di kawasan tersebut.
” Dalam banyak-banyak anjing di sini, Budi memang terkenal, siap
sedia untuk berkhidmat biarpun bagi tujuan menjejak penceroboh Sulu ini.
” Mereka (pengganas) akan tahu langit tinggi rendah sekiranya terserempak dengan Budi, kalau berani, cuba! ,” katanya. – Mynewshub.my
1 comment:
Semoga beroleh kejayaan..Kami hanya mampu berdoa...
Post a Comment