Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengutuk keras keganasan
yang dilakukan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna di Sabah, kata
pengerusinya Muslimin Sema.
Muslimin, yang dilantik sebagai pengerusi badan pembuat keputusan
tertinggi pertubuhan itu, Jawatankuasa Pusat MNLF, pada 2008, berkata
Nur Misuari hanya seorang anggota biasa jawatankuasa itu dan tidak
mempunyai pengaruh dalam MNLF.
MNLF, katanya, menganggap rakyat Sabah dan Malaysia sebagai saudara mereka.
“Kami (MNLF) tidak menyokong apa yang sedang berlaku di Sabah
(pencerobohan dan tindakan pengganas). Kami menolaknya. Kejadian di
Sabah dicetuskan untuk memecahbelahkan sesama kita.
“Ia juga dilakukan untuk memutuskan ikatan antara Sabah dan selatan
Filipina dan antara Malaysia dan Filipina. Mereka ingin memusnahkan
ikatan itu (antara rakyat),” katanya dalam temu bual ekslusif dengan
Bernama melalui telefon dari Manila.
Dua hari lepas, Malaysia menggunakan jet pejuang, tentera darat dan
kenderaan pengangkut tentera berperisai untuk menggempur penceroboh
bersenjata yang bersembunyi di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Operasi yang menggabungkan pasukan polis dan tentera dikenali sebagai “Op Daulat” itu berterusan hingga kini.
Pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas di
Lahad Datu dan Semporna meragut nyawa lapan anggota polis dan
sekurang-kurangnya 52 pengganas.
Diminta mengulas tentang kenyataan Misuari baru-baru ini bahawa MNLF
bersedia menghantar pejuang bersenjatanya ke Sabah untuk membantu
pengganas Sulu, Muslimin berkata beliau kecewa dengan kenyataan bekas
pemimpin MNLF itu.
“Beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan yang tidak
bertanggungjawab itu. Saya sedih kerana tidak dapat menyekatnya daripada
membuat kenyataan itu. Sabah dan Malaysia bukan musuh kami,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat anggota MNLF yang terlibat dalam kejadian
di Sabah, Muslimin berkata jawatankuasa pusat barisan itu telah
menjalankan penyiasatan tentang perkara berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan yang dibuat anggota jawatankuasa pusat di
Tawi-Tawi dan Sulu mendapati tidak ada anggota MNLF yang terlibat dalam
pencerobohan di Sabah. Kami tidak terlibat dalam apa jua bentuk
keganasan,” katanya.
Beliau berkata sekiranya terdapat anggota MNLF yang terlibat dengan
keganasan di Sabah, mereka melakukannya secara peribadi dan tidak pernah
mendapat restu daripada kepimpinan barisan itu.
“Sekiranya mereka terlibat, ia dibuat atas dasar individu kerana MNLF
tidak pernah merestuinya,” kata beliau sambil menegaskan bahawa
kebanyakan orang Filipina yang tinggal di Sabah menjalani kehidupan
secara baik dan aman. - BERNAMA

No comments:
Post a Comment