Setelah teruk didesak
untuk menarik balik “amanat sesat” yang dilafazkan di depan puluhan ribu
para penyokong PAS pada tahun 1981 dulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi kini meminta satu jam dari media arus perdana untuk menjawab
kontroversi yang dia timbulkan itu.
Abdul Hadi berkata, dia mahu bersiaran
secara langsung di RTM1, RTM2 dan TV3 selama satu jam di waktu perdana
dengan alasan supaya kenyataannya tidak diputar belitkan oleh mana-mana
media berkenaan.
Kononnya, dengan memberi penjelasan selama satu jam itu dia akan mampu merungkai segala “dosa”nya dari tahun 1981 sehingga kini?
Saya tertanya-tanya, apakah Abdul Hadi
fikir dengan bersiaran selama satu jam itu dia mampu menyelesaikan
pepecahan umat Islam yang berlaku sejak amanatnya itu dicanang di
seluruh Malaysia?
Mampukah tempoh satu jam itu menyatukan
kembali puluhan ribu anak dengan ibubapa kandungnya setelah dikafirkan
kerana menyokong UMNO?
Apakah dengan tempoh selama satu jam itu
juga Abdul Hadi mampu merujuk kembali pasangan suami isteri yang
terpisah hanya kerana perbezaan fahaman politik di antara mereka
sehingga menyebabkan penceraian dan terpaksa akad nikah sebanyak 2 kali?
Apakah Abdul Hadi fikir dengan satu jam
itu dia mampu membersihkan dosanya yang mengakibatkan kekecohan dan
insiden memalukan yang berlaku terhadap jenazah yang enggan diuruskan
hanya kerana si mati itu menyokong UMNO?
Abdul Hadi perlu menjawab di dalam satu
jam berkenaan bahawa penjelasannya itu akan menamatkan amalan solat dua
imam yang masih berlaku sehingga hari ini.
Paling utama, Presiden PAS itu juga perlu
membuktikan di dalam masa satu jam itu dia akan membersihkan segala
dosa-dosanya terhadap seluruh umat Islam di Malaysia yang dipisahkan
oleh “amanat”nya yang jelas songsang dan tidak beretika itu.
Saya agak musykil. Dengan kedudukannya
sebagai Presiden PAS dan egonya yang lebih mendaulatkan politik
berbanding kepentingan Islam, mampukah Abdul Hadi menjelaskan segala
kekusutan yang dia lakukan sebelum ini.
Saya akui bahawa ilmu agama Abdul Hadi
agak tinggi dan mungkin benar dia adalah setaraf dengan ilmu yang
dimiliki oleh para Mufti.
Namun, apakah itu juga bererti bahawa dia
tidak pernah silap dalam membuat perhitungan, fatwa atau pandangannya
terhadap umat Islam lain yang tidak menyokong perjuangan politik PAS?
Saya percaya bahawa sekiranya Presiden
PAS itu diberikan masa selama 24 jam secara langsung sekalipun, dia
tidak mungkin mampu membasuh segala dosa yang tercetus akibat
keceluparan mulut politiknya yang mengkafirkan umat Islam di negara ini.
Bukan sekadar akidah yang dia cemarkan,
malah segala muamalah yang berkaitan perkara fardhu sama ada fardhu ain
atau kifayah turut terjejas hanya disebabkan ketaksubannya terhadap
kepentingan politik!
Pada saya, Abdul Hadi sebenarnya tidak
memerlukan satu jam pun untuk menjelaskan segala dosanya itu dan
sebaliknya dia hanya memerlukan selama 2 hingga 3 minit saja untuk
menghuraikan segala kekusutan tersebut.
Dengan 2 minit, Abdul Hadi hanya perlu
mengaku bersalah dan memikul tanggungjawab sepenuhnya atas dosa yang dia
lakukan pada tahun 1981 itu, serta meminta maaf secara terbuka kepada
umat Islam di seluruh negara.
Selebihnya, dia hanya perlu bertaubat
kepada Allah SWT untuk tidak sesekali mengkafirkan saudara seagamanya
lagi dan tidak lagi memperdagangkan agama Allah itu sebagai senjata
meraihkan kuasa politik di Malaysia.
Semudah itu! Dalam 2 hingga 3 minit saja
segalanya akan selesai jika Abdul Hadi benar-benar mahu merungkai segala
kontroversi amanat “songsang”nya itu, bukan? Jadi untuk apa dia minta
tempoh selama satu jam? Kemaruk sangat nak masuk TV, kah?
Sumber: Mykmu.net
No comments:
Post a Comment