Baru-baru ini saya terbaca kenyataan
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak di sebuah akhbar yang
menjelaskan tentang projek “balun balak Kedah” yang sedang digiat
dijalankan sebelum PRU ke-13 berlangsung.
Dalam kenyataannya itu, dia begitu
bongkak dan angkuh apabila memberitahu bahawa dia tidak peduli sangat
tentang kelulusan EIA yang diperlukan bagi sebarang aktiviti balak yang
melibat kawasan seluas 15,000 hektar di atas nama “Ladang Sejahtera”.
Lagipun katanya, projek “balun balak
sampai licin” itu sudah pun dilaksanakan secara besar-besaran di
merata-rata hutan simpan kekal di Kedah, termasuk di kawasan Carok
Batang Padi yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan tadahan air
utama negeri, empangan Pedu.
Lebih menarik, Azizan menjelaskan bahawa
dia sebenarnya bercadang untuk menanam pokok buah-buahan atau dalam
ertikata lain, Menteri Besar itu mahu menjadikan kawasan seluas 500
hektar di Pedu itu sebagai dusun buah-buahan.
Bayangkan dusun buah-buahan seluas 500
hektar di Pedu. Mungkin dia mahu menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri
dusun buah-buahan barangkali. Baiklah, saya setuju dengan tujuan itu.
Bagaimanapun, saya yakin bahawa tujuan
utama Azizan bukanlah “dusun buah-buahan” seperti yang dia katakan,
tetapi sebaliknya dia mahu mengebas seberapa banyak balak bernilai
tinggi yang berada di kawasan hutan simpan kekal tersebut!
Untuk makluman, saya mampu membuktikan
bahawa Jabatan Hutan Negeri telah mengazetkan kawasan tersebut sebagai
“Kawasan Hutan Pemeliharaan Bernilai Tinggi” di mana kawasan tersebut
dilarang sama sekali terlibat dengan aktiviti penebangan pokok, walaupun
sebatang.
Pernah dulu bekas Menteri Besar Kedah,
Datuk Seri Syed Razak bercadang untuk menjalankan aktiviti pembalakan
terancang di mana kaedah pembalakan menggunakan helikopter digunakan
untuk mengangkut balak dan penebangan balak hanya dihadkan kepada 3
batang balak saja bagi satu kompatmen.
Bagaimanapun, setelah berbincang dan
bermesyuarat dengan pihak-pihak terlibat dengan prosedur pembalakan
seperti Jabatan Hutan Negeri, Jabatan Alam Sekitar dan sebagainya,
cadangan tersebut dibatalkan disebabkan oleh aktiviti tersebut mampu
menjejaskan alam sekitar dan ekologi.
Sejak itu, tiada sebarang cubaan dari
mana-mana pihak untuk menjalankan aktiviti balak di kawasan tersebut
sehinggalah PAS berkuasa di Kedah.
Mengenepikan nasihat, pandangan dan
kajian sebelum ini, PAS Kedah begitu rakus menebang balak di kawasan
tadahan air itu sehingga kawasan tersebut menjadi “padang jarak padang
tekukur”. Habis gondol ditebang PAS Kedah..!!!
Saya tahu dan sedar bahawa PAS Kedah tak
tahu dan memang tidak pandai langsung menjana wang untuk Kerajaan Negeri
Kedah. Namun ia bukanlah alasan bagi Azizan dan Exco-Exconya merompak
sesuatu yang tidak wajar dirompaknya!
Kalau nak “rompak” balak di Kedah,
rasanya Azizan boleh terbang dengan helikopter mengelilingi Kedah dan
lihat sendiri kawasan yang wajar ditebang untuk mendapatkan balak. Lepas
itu, mohonlah kelulusan EIA dari Jabatan Alam Sekitar atas nasihat
Jabatan Hutan.
Selepas itu, membalaklah mengikut jadual
dan secara berperingkat sebagaimana yang dijalankan di negeri-negeri BN
yang lain. Kalau nak membalak sekalipun, tinggalkanlah yang pokok yang
kecil-kecil tu untuk anak cucu pada masa akan datang…
Inilah jadinya kalau biarkan orang yang
tak tahu mentadbir mendapat kuasa. Boleh lingkup satu negeri jadinya.
Kalau sepenggal saja dia boleh jual semua hutan-hutan simpan kekal di
Kedah, saya yakin jika dibiarkan mereka berkuasa sepenggal lagi, seluruh
sawah padi pula akan menjadi mangsa!
Sumber: Mykmu.net



No comments:
Post a Comment