Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Thursday, December 29, 2011

Mampukah Kerajaan Menangani Syak Wasangka Rasuah..?


Walaupun rata-rata sudah gah meramalkan pilihanraya umum ke 13 akan diadakan dalam beberapa bulan saja lagi tetapi hingga sekarang tiada siapa pun boleh memastikan tarikhnya yang sebenar melainkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Sebelum ini pun ramai telah menjangkakan ia akan diadakan bulan November lalu tetapi jelas sakaan itu sudah meleset.

Apa pun ramai yang berangan besar mahu menjadi wakil rakyat khususnya dikalangan sesetengah anggota Pakatan Rakyat yang mahu menjadi anggota parlimen kerana kononnya Pakatan itu kali ini akan dapat mempengaruhi secukup jumlah pengundi bagi membolehkannya menduduki kerusi empuk pemerintahan negara.
Maka itulah sejak ujudnya desas desus PRU13 itu akan diadakan dalam bulan-bulan awal 2012 ini pertelingkahan juga berlaku di kalangan PR lebih-lebih lagi dalam DAP dan Pas.

Begitu yakinnya mereka akan dipilih pengundi untuk menduduki Putrajaya sudah tidak habis-habis berita menunjukan keghairahan sesetengah daripada mereka yang menonjol-nonjolkan diri untuk mendapatkan tempat sebagai calon.

Dalam pada itu Najib nampaknya sudah mendahului inisiatif untuk mendapatkan sokongan ramai dengan berbagai sekim bantuan yang telah pun dilaksanakan antaranya bantuan murid sekolah, bantuan RM500 kepada keluarga berpendapatan kurang dari RM3000 sebulan, menyediakan perumahan PRIMA untuk mereka yang berpendapatan sederhana yang tidak mampu membeli rumah dikawasan-kawasan bandar besar seperti Lembah Kelang kerana rumah yang sedia ada atau pun yang baru mahu dibina berharga diluar kemampuan mereka .

Ini sebagai tambahan kepada sekim Perumahan Rakyat untuk mereka yang berpendapatan kurang dari RM3000 sebulan.
Dalam pada itu kerajaan Pusat juga telah mewujudkan kedai rakyat 1 Malaysia (KRIM) dan kini kedai ikan Rakyat 1Malaysia. Sejumlah 20 buah kedai demikian telah pun didirikan yang menawarkan sehingga 250 barangan generik dijual pada harga antara 30 hingga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran barangan berjenama walau pun di pasaraya besar.

PR sendiri telah sedar betapa sokongan terhadap kedai itu akan memberikan impak baik kepada kerajaan dan beberapa anggotanya berusaha menggagalkannya dengan membuat berbagai tohmahan kononnya barangan yang disediakan di KRIM tidak seperti yang di war-warkan.

Jelas tohmahan itu kemudiannya didapati tidak berasas dan orang ramai berterusan berpusu-pusu mendapatkan barangan keperluan mereka dari kedai itu.
Tetapi apa yang boleh mengelecek usaha ini ialah ujudnya desas desus perlakuan rasuah besar-besaran yang tidak terjawab hingga sekarang. Misalnya apa jadi dengan tempahan bot ronda di mana berbilion ringit telah diberikan kepada pembekal yang kononnya boleh menyediakan kapal itu. Tetapi hingga sekarang dikatakan hanya dua buah saja telah diadakan itu pun tidak boleh beroperasi sebagaimana dikehendaki.

Bagaimana pun pembekalnya dikatakan sudah pun diberikan bayaran yang melebihi harga untuk dua bot. Malangnya mereka yang bersangkutan dengan perlakuan ini tidak pula dikemukakan ke pengadilan.

Demikian juga dengan berbagai lebuhraya yang diadakan. Timbalan Menteri Kerjaraya Yong Khoon Seng memberitahu Parlimen baru-baru ini bahawa syarikat-syarikat yang mengendalikan 27 buah lebuhraya bertol memperolehi sejumlah RM37.7 bilion dari kutipan tol ditambah RM2.1bilion diberikan kerajaan sehingga akhir 2010.

Pemberian kerajaan itu kononnya sebagai gantirugi kerana kerajaan tidak membenarkan mereka menambahkan kadar tol mengikut perjanjian.
Sebenarnya syarikat-syarikat itu telah menggondol keuntungan sehingga RM13 bilion, berbanding dengan kos pembinaan RM26.4 bilion. PLUS misalnya dikatakan sudah pun mendapat kembali kos membina jalanraya itu tetapi hingga sekarang penggunanya masih dibebankan dengan bayaran tol yang akan dinaikan mengikut jadual yang ditetapkan dalam perjanjian.

Konsesi itu akan berlarutan hingga 2039 walau pun hingga kini PLUS sudah pun mengutip sejumlah RM23.5 bilion ditambah gantirugi yang diberikan kerajaan (duit rakyat) sebanyak RM735.2 juta walaupun harga binaannya hanya RM5.9 bilion.

Demikian juga Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dibina dengan harga hanya RM1.1billion tetapi telah pun mengutip RM2.1bilion ditambah RM631juta bayaran saguhati oleh kerajaan.

Jelas kerajaan waktu memberikan konsesi itu tidak prihatin dan meneliti dengan sebenarnya pulangan yang bakal diperolehi syarikat konsesi. Syarikat-syarikat perunding yang diamanahkan meneliti projek juga tidak dapat membuat unjuran yang sebenarnya dan dengan itu pengguna jalan berterusan saja dibebankan hanya kerana perjanjian yang berat sebelah itu.

Maka itulah walau pun syarikat-syarikat itu harus menampung kos membangunkan lebuhraya ditambah kos penyelenggaraan tahunan tetapi pendapatan dari pengguna sudah pun melebih apa yang dibelanjakan.

Demikian juga berbagai macam perlakuan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit masih menghantui kerajaan tanpa adanya sebarang penjelasan dan hingga sekarang tidak terlerai atau mereka yang telibat di bawa ke pengadilan. Dan rakyat terus tertanya-tanya.

Maka itu tohmahan mengenai rasuah yang melibatkan bukan lagi berjuta tetapi sudah pun mencecah berbilion ringgit berterusan ditimbulkan. Kiranya cakap-cakap mengenai hal ini tidak ditangani dan diberikan jawapan sebenar apakah ia berlaku atau tidak, selagi itulah rakyat akan berterusan meragui kebersihan orang-orang tertentu dalam kerajaan baik dalam parti mahu pun dikalangan pentadbir dan mereka yang didiberi kuasa membuat keputusan.

Selagi setiap keputusan melibatkan pembelian, kontrek dan projek termasuk syarikat-syarikat kaitan kerajaan (GLC) dicalar dengan syak wasangka demikian selagi itulah kerajaan akan menghadapi masaalah kredibiliti dimana rakyat tidak yakin terhadap ketelusan sesuatu keputusan itu.

Inilah yang harus diberi pertimbangan tetapi apakah kerajaan mampu menanganinya?

rejal
Oleh Datuk Rejal Arbee


Sumber: Klik sini

1 comment:

Anonymous said...

Rasuah tidak boleh dibiarkan berlaku. Hukuman yang berat perlu dikenakan kepada pemberi dan penerima rasuah. Kalau tidak, rosak masyarakat kita yang memang sudah rosak. Rasuah ini pengkhianatan kepada amanah yang diberikan.

Dalam keadaan win-win situation, tiada sesiapa pun yang akan bersuara kecuali whistle blower yang mempunyai bukti yang sah atau agensi kerajaan yang dipertanggungjawab untuk membasmi gejala ini.

SPRM perlu diperkasakan lagi. Begitu juga agensi2 penguatkuasaan seperti PDRM, KDRM, Imigresen, UPP, dan yang lain2.

Jangan lupa Jakim. Halal haram makanan kita ditangan mereka.

Jangan lupa juga mereka2 yang di atas, yang meluluskan atau mengagalkan sesuatu permohonan.

Tapi kalau kita dah tak berdaya, kita serah saja pada Allah s.w.t. untuk menghitung kesalahan mereka.

Jawablah kat padang mahsyar nanti.

Bila Kak Su Bersuara... Heh!