Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Tuesday, June 7, 2011

Mampukah Mat Sabu menggalas harapan Pas?


Muktamar Pas ke-57 telah berakhir dengan menyaksikan keputusan pemilihan pucuk pimpinan yang paling sengit dalam sejarah, namun saf kepimpinan baru yang terpilih kali ini disifatkan sebagai yang terbaik dalam sejarah parti itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pucuk pimpinan parti itu kali ini mempamerkan gabungan terhebat antara golongan ulama dan profesional Pas, serta dijangka bakal menguatkan jentera parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang.

Meskipun begitu, cakap-cakap politik menyifatkan kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas bakal membuka lembaran baru untuk parti itu yang selama ini hanya di anggap sebagai ‘parti kelas ketiga’ oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pada sesi yang lalu, ketika Nasharuddin Mat Isa menyandang jawatan Timbalan Presiden, Pas dilihat sangat lemah apabila berhadapan dengan PKR atau DAP di dalam beberapa perkara dasar yang menjadi pertikaian antara parti yang membentuk Pakatan Rakyat itu.

Abdul Hadi sememangnya mengakui bahawa terdapat perbezaan ketara mengenai dasar, ideologi dan perjuangan antara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu, namun mungkin kerana Pas sebelum ini bersikap pasif serta enggan bertelingkah pada hubungan yang masih setahun jagung itu, maka mungkin parti itu mengambil sikap mengalah.

Ekoran sikap mengalah oleh Abdul Hadi, dan Nasharuddin yang menjadi Timbalannya itu hanya berdiam diri, maka Pas dilihat seolah-olah ‘termakan nasi kangkang’ apabila hanya menurut apa saja dasar serta tindakan rakan-rakan politiknya itu walaupun terpaksa mengorbankan prinsip perjuangan mereka.

Misalnya, kes rampasan arak yang berlaku di Shah Alam yang dilakukan oleh Datuk Hassan Ali yang merupakan Exco Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan berkenaan hal ehwal agama Islam Selangor, terpaksa dikembalikan apabila pemimpin DAP, Ronnie Liu, campur tangan.

Contoh yang paling jelas yang membuktikan Pas terpaksa menggadai perjuangan asal parti itu sejak 60 tahun ditubuhkan ialah apabila pucuk pimpinannya terpaksa bersetuju dengan penubuhan negara kebajikan, di mana Pas dilihat seolah-olah ‘dipaksa’ melupakan agenda asal mereka untuk menubuhkan negara Islam, atau ‘daulah Islamiyyah’.

Namun, dengan terpilihnya Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden bagi sesi 2011-2013 kali ini dikhabarkan bakal menyaksikan perubahan di dalam hubungan di antara PAS, PKR dan DAP yang hanya baru di’ijab kabul’kan sejak tiga tahun lalu.

Mereka-mereka yang mengikuti perkembangan semasa politik tanahair tentunya arif tentang hubungan dingin di antara Mohamad Sabu dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menurut desas-desus politik, pertelingkahan antara mereka adalah serius dan bersifat peribadi.

Sejarah menceritakan betapa Mohamad Sabu membenci Anwar. Sejak Anwar mengisytiharkan dirinya menyertai UMNO pada tahu 1982, tidak henti-henti Mohamad Sabu menyerangnya. Tidak mengira apa jua isu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ itu seolah-olah tidak memberi ruang langsung untuk Anwar ‘bernafas’. Ada saja yang tak kena pada Anwar di mata Mat Sabu.

Sebagai contoh, Mat Sabu adalah individu yang bertanggungjawab yang menggelarkan Anwar dengan gelaran ‘Al-Juburi’, meskipun ketika itu tidak ada sebarang dakwaan serius mengenai penglibatan Anwar dengan aktiviti meliwat.

Malah pada satu masa, Mat Sabu turut bergandingan bersama Karpal Singh di dalam Dewan Parlimen untuk mendesak pihak Kerajaan untuk menyiasat Anwar, yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, di atas dakwaan meliwat dan mereka turut mendakwa memiliki bukti kukuh mengenai dakwaan itu.

Mungkin di atas sikap Mat Sabu yang kerap menyerang Anwar itu, maka mereka berdua ‘berkerat rotan’ dan ‘tidak sebulu’ sehingga kini.

Meskipun Mohamad Sabu memberitahu mynewshub.my bahawa beliau telah berhenti menyerang Anwar sejak Anwar bertukar menjadi pembangkang, tidak semestinya hubungan dingin dan pertelingkahan antara mereka berdua turut reda.

Mungkin kedua-dua tokoh pembangkang itu mampu ‘berlakon’ intim bersama di hadapan penyokong-penyokong pembangkang dan menafikan sebarang sengketa antara mereka, namun hakikatnya, ramai yang sedar bahawa hubungan mereka sememangnya ‘tidak berlaga angin’.

Sebenarnya, menurut tinjauan saya pada Muktamar Pas baru-baru ini, cakap-cakap antara perwakilan di gerai-gerai makan di sekitar Markaz Tabiyah Pas Taman Melewar itu membayangkan harapan mereka terhadap Mat Sabu bagi mengembalikan maruah Pas di dalam Pakatan Rakyat.

Mereka mengharapkan agar Mat Sabu mampu menjadi Pas sebagai parti dominan di dalam Pakatan Rakyat memandangkan suara parti itu yang sering tenggelam pada setiap perkara yang diputuskan di dalam keputusan dan tindakan pakatan itu.

Mampukah Mat Sabu menggalas harapan dan mengkabulkan impian para perwakilan Pas, hanya masa sahaja yang akan menentukan. Mohamad Sabu tidak punya banyak masa untuk membuktikan kemampuannya menonjolkan kehebatan Pas di dalam Pakatan Rakyat, Pilihanraya Umum ke-13 diramal bakal berlangsung pada tahun ini atau tahun depan sahaja.

Sekiranya Mat Sabu gagal memenuhi harapan perwakilan ini, maka mungkin Mat Sabu bakal mengikut jejak langkah Nasharuddin memandangkan lebih dari enam orang yang akan mengintai-ngintai untuk mengambil alih tempatnya untuk menjadi orang nombor dua parti itu.

Sumber: MyKMU.net

1 comment:

kluangman said...

bergantung kepada keterampilan mat sabu dari hari ke hari, kalau makin smart bergaya, kuranglah dia bercakap, kalau nampak poyo, selekeh, selamba - banyaklah dia bercakap memperjuangkan pas.

Bila Kak Su Bersuara... Heh!