

Baru-baru ini, saya ada pulang ke kampung di Kedah untuk berbuka puasa bersama ibu tersayang. Setelah menunaikan solat tarawikh bersama ibu di sebuah masjid, saya keluar semula setelah menghantar ibu saya pula ke rumah. "Kawan" ingin bertemu...
Alhamdulillah. Pertemuan tidak dirancang itu telah memberikan kepada saya gambaran kemelut dalaman PAS Kedah. Maklumlah, rakan saya ini berjawatan di dalam PAS di kawasannya. Sahabat saya ini mendakwa bahawa "Pemimpin PAS sudah Political Over Dose"!. Dia tidak teragak-agak untuk menceritakan kepada saya tentang pergolakan dalaman PAS ini memandangkan saya berasal dari sebuah keluarga PAS (Bapa saya mengecat pintu rumah berwarna hijau dan berbulatan putih ditengah!). Mungkin dia fikir saya masih PAS.
"Sekarang di Kedah sudah tidak lagi memakai istilah "Parti Memerintah Kerajaan". Tapi "MB memerintah Parti" dan satu lagi ialah "MB memerintah Kerajaan". Ini adalah fenomena baru yang di bawa oleh bekas pensyarah itu dengan sikap yang keterlaluan terhadap ahli parti yang mahukan pelaksanaan mengikut syura dari peringkat cawangan hinggalah pusat." Begitulah "angin"nya sahabat saya ini terhadap kepimpinan Azizan Razak.
Pada sahabat saya ini, Azizan itu tidak lebih dari seorang bekas pensyarah dan bukanlah seorang yang bergelar "ustaz". Azizan digambarkan sebagai seorang "nafsi-nafsi", di mana Azizan hanya memerintah mengikut acuan kepalanya sahaja dan tidak berdasarkan konsep syura dari peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat pusat. Pada rakan saya ini, Azizan sudah keterlaluan apabila memerintah Kedah secara sendirian dan mengenepikan fokus PAS yang sebenar.
Menurut sahabat saya ini, dia sudah bosan dengan pertikaian pendapat di antara pemimpin-pemimpin atasan PAS. Sebagai contoh, dia mempertikaikan perlaksanaan pemerintahan PAS di Kedah yang sangat berbeza dengan pemerintahan PAS di Kelantan. "Bolehkan kita bagi alasan Kelantan MBnya seorang ulama' sementara Kedah hanya sekadar individu lulusan Universti KENT dan Azhar? Kemudiannya, kita bangga apabila PAS Kedah ikut cara Kedah dan PAS Kelantan ikut cara Kelantan...Namanya Parti Islam adakah MB Kedah ikut berlainan Kitab dengan Kelantan?
Seterusnya dia mengkritik bahawa pemimpin PAS adalah lebih teruk dari UMNO. Katanya, PAS dahulu menjerit dan memekik meminta UMNO mengamalkan dasar yang lebih Islamik dan turut menuduh UMNO terbabit dengan penyalahgunaan kuasa. Tapi, bila PAS memerintah, mereka juga turut melakukan perkara yang sama! Menurutnya, "orang yang tahu dan tidak mengamalkannya akan masuk ke dalam neraka lebih awal dari mereka yang tidak tahu dan tidak melaksanakannya". Saya meminta dia mengurangkan sedikit "volume" suaranya. Bukan apa, risau juga ada orang report pada PAS Negeri, maklumlah rakan saya ini berjawatan di dalam PAS!
Kawan saya ini rupanya sayangkan Nik Aziz! Dia cukup marah apabila Azizan dan ramai pemimpin PAS yang tidak "senada" dengan "fatwa" Nik Aziz. "Arahan serta nasihat Mursyidul Am tidak dihormati..nama saja Parti Islam pimpinan Ulama' tapi Ulama' yang kita sangat hormati macam TGNA yang terbukti ketokohan yang sepatutnya di contohi.Namun, apa yang belaku adalah sebaliknya apabila ada pimpinan PAS yang yang lain sering berlaian "fatwa", tindakan ini menyebabkan INTERNAL POLITICAL UNSTABILITY menjadi semakin parah", katanya. Yang melucukan saya, dia cukup sakit hati apabila Nik Aziz hanya diberikan tugas sebagai "bomoh hujan" atau sekadar imam masjid solat hajat, manakala "fatwa"nya tidak disepakati. Marah betul dia...
Katanya, PAS kini ada sindrom "kutuk kat belakang". Katanya, Muktamar PAS baru-baru ini hambar belaka berbanding dahulu. Banyak tidur dari mendengar. Tujuan perwakilan yang hadir lebih kepada melancong berbanding tujuan asal Muktamar yang bertujuan untuk membahaskan isu dan masalah (tujuanya Muktamar sebenarnya ialah mengutuk dan mengkafirkan UMNO sebenarnya!). Bila balik dari Muktamar, mereka lebib suka mengata dibelakang. Maklumlah, PAS Kedah kini sudah berjawatan dan memerintah Kerajaan Negeri. Siapa yang lawan atau kritik, nanti tak dapat jawatan atau "sumbangan ikhlas" (share rasuah le tu?) dari kepentingan kerajaan! Sebab tu depa kutuk kat belakang!
Demikianlah kemelut hal dalaman PAS Kedah. Perkara ini jika ditanya kepada pemimpin PAS Kedah, pastinya seperti biasa akan dinafikan sekeras-kerasnya. Takkanlah depa nak mengaku hal pekung di dada. Namun, dengan pendedahan eksklusif ini, maka kita sedikit sebanyak dapat menilai, apakah PAS dan kepimpinannya masih lagi berpegang kepada Islam dan dasar mereka yang tanpa hala tuju sebenar. Orang berpolitik, mereka juga mahu berpolitik. Tapi ternyata mereka ini hanyalah omongan kosong kepada rakyat. Mudah kata, mereka hanya mampu bercakap, tapi tak serupa bikin!




.jpg)
