Tuesday, September 29, 2009

Tan Sri Isa Samad Untuk Bagan Pinang.


Beliau di dapati bersalah. Beliau akur. Beliau digantung keahlian 3 tahun. Beliau akur. Beliau dicemuh, dihina dan diumpat, pun beliau akur. Beliau "berehat" dan menerima hukuman dunia dan masyarakat dengan sikap zuhud dan insaf. Beliau tidak pun cuba untuk menonjolkan diri sepanjang tempoh "rehat"nya. Namun begitu, beliau tetap aktif sebagai insan yang berpegang kuat pada semangat dan jiwa UMNO yang tebal di dalam dirinya. Beliau tidak cepat "melatah" atau "merajuk" melompat ke arah parti lain, jauh sekali menubuhkan parti lain ataupun "memijak" bendera UMNO. Beliau tetap kukuh berjiwa UMNO, demi Islam, bangsa dan tanahair. Siapa yang tidak melakukan kesalahan atau kesilapan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Namun, Allah juga punya sifat Maha Pengampun kesilapan dan kesalahan hambaNya. Di dalam Islam juga punya perkataan "taubat", tanda penyesalan dan berazam tidak mengulanginya kesilapan yang lampau.

Tan Sri Isa Samad. Insan inilah yang dimaksudkan. Teguh sungguh jiwanya kepada perjuangan "alif, ba, ta" UMNO. Dikala dia di dalam tempoh "cuti"nya, dirinya tetap sebok berjuang dan berkhidmat kepada masyarakat setempat. Di atas keikhlasan dan jasa juangnya kepada masyarakatlah, maka beliau disukai dan dipuji oleh masyarakat sekitarnya. Penduduk tempatan di Teluk Kemang pastinya terkilan jika "wakil rakyat tidak rasmi"nya ini tidak terpilih untuk menjadi calon "wakil rakyat rasmi" di Bagan Pinang. Sehubungan itulah maka mereka sebulat suara mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagi calon pilihan mereka. Itulah kehendak rakyat setempat di Teluk Kemang, khususnya Bagan Pinang. Dikhabarkan bahawa, beliau bukan sahaja menjadi pilihan ahli-ahli UMNO di Bahagian Teluk Kemang, malah Tan Sri Isa juga menjadi pilihan rakyat "atas pagar", bahkan pengundi pembangkang juga secara diam-diam "meminati" Tan Sri Isa. Itulah pilihan rakyat setempat.


Tidak dinafikan bahawa ada juga pandangan dan suara dari luar Bagan Pinang yang tidak "favor" kepada pencalonan Tan Sri Isa Samad. Malah ada juga pemimpin UMNO, bekas pemimpin UMNO dan blogger-blogger pro-UMNO yang tidak bersetuju dengan pencalonan Tan Sri Isa. Saya berterima kasih banyak kepada pandangan mereka mengenai isu ini. Memang benarlah pandangan mereka itu. Namun mereka tidak boleh menghukum seseorang itu hanya keran melihat sesuatu kesalahan yang pernah dilakukan oleh individu tersebut. Individu itu telah menerima hukuman setimpal dan beliau juga sudah insaf. Tiadakah tempat untuk seseorang seperti itu untuk menjadi pemimpin? Bukankah Saiyidina Umar Al-Khattab juga asalnya kafir dan pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup ke perut bumi sehingga mati. Jika benar tiada tempat untuk insan yang pernah berdosa besar seperti itu untuk berperanan sebagai pemimpin, mengapa beliau diangkat sebagai salah seorang Khulafa' Ar-Rashidin yang dijamin syurga. Apakah Tan Sri Isa tidak boleh diterima sebagai pemimpin walaupun beliau sudah bertaubat dan insaf?


Saya menerima khabar bahawa sebelum disahkan pencalonan calon untuk Bagan Pinang oleh UMNO, Tan Sri Isa Samad begitu aktif turun ke lapangan akar umbi di seluruh Bagan Pinang. Beliau meminta dan merayu supaya semua ahli UMNO dan rakyat setempat tanpa mengira parti agar memilih calon pilihan UMNO/BN sebagai wakil rakyat mereka. Beliau ketika itu langsung tidak menyentuh mengenai pencalonan dirinya. Beliau sendiri secara peribadinya tidak sedikit pun melobi untuk menjadi calon. Malah menggesa agar semua penyokong BN agar menerima calon pilihan Presiden UMNO dan MT kerana pastinya pucuk pimpinan akan memilih calon yang "mengutamakan rakyat" dan "mementingkan prestasi KPI perkhidmatannya kepada rakyat". Beliau begitu ikhlas dan tulus berjuang demi Parti "sebenar" yang menjadi "Pembela Rakyat" ini.


Saya faham. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan dan tulisan saya kali ini. Saya hormati pandangan yang bertentangan, namun saya yakin dengan pilihan saya kali ini. Saya yakin dengan pandangan saya sebagai insan yang tidak terlepas dari salah dan silap. Saya yakin dengan pilihan saya kerana saya tahu bahawa manusia juga mampu berubah kepada sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya. Dan saya yakin dengan pilihan saya kerana pilihan ini adalah pilihan rakyat pengundi-pengundi di Bagan Pinang dan bukan pengundi dari "luar kawasan" yang hanya "suka komen itu tak betul, ini tak betul". Apa-apa pun, fikir-fikirkanlah...

Saturday, September 26, 2009


Maka aku terbacalah jua akan hikayat ceritera nun di Selangor yang sedang hangat di adu dombakan. Terasa panaslah jua telinga beberapa ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, termasuklah Memanda Menteri Besar, Khalid Ibrahim. Demikian kenyataan teguran ikhlas dari Hasan Ali terhadap SELCAT itu telah menjadikan Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri maju itu menjadi gundah gulana. Kreadibiliti pengurusan negeri termaju di Malaysia itu jatuh merudum tercalar akibat teguran Hasan Ali yang menongkah arus dari agenda PR untuk terus menerus menipu rakyat.

Menurut ceritanya Hasan Ali menegur keras tentang kaedah yang terlalu menekan, menggasak dan menghina individu yang disiasat. Hasan Ali hanya memperkatakan tentang "cara" menyiasat seseorang individu yang agak keterlaluan menurutnya. Menekan dengan hebat dan termasuklah menghina individu terbabit sehingga menghilangkan kreadibiliti, keyakinan dan harga diri. Akibatnya, individu tersebut akan hilang produktiviti sekaligus menurunkan tahap moral mutu diri dan kerjaya. Demikian kritikan Hasan Ali tersebut maka teruklah dirinya di"balun" habis-habisan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan juga mereka-mereka yang sudah lama "geram" dan "berdendam" dengan "pakar motivasi" tersebut.

Tony Pua terang-terangan "membelasah" Hasan Ali di dalam kenyataan akhbarnya. Hasan Ali dikatakan "hipokrit" dan "nak jadi hero"! Ramai yang "membelasah" Hasan Ali. Si Jeff Ooi pulak meminta agar Hasan Ali dipecat segera dari PAS sebelum terlambat. Pada hemah saya, sempena Aidulfitri ini, mungkin juga si Jeff Ooi ni sudah mendaftarkan diri sebagai ahli PAS dan menjawat jawatan kuasa disiplin Parti "diorang saja la yang Islam" itu. Menurut cerita, di dalam Parti "Isle" yang selalu mengatakan "yes boss" kepada Parti "tolak Islam secara total" pula, ada juga yang "belasah" Hasan Ali, tapi ikut "pintu belakang"lah. Maklumlah, Hasan Ali masih lagi Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor, takut "miss soruuu"lah!

Namun begitu, dengar katanya si Khairuddin yang menjadi Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor sedang kuat membela Hasan Ali. Sanggup dan bersedia keluar dari Pakatan Rakyat, katanya. Namun pembelaan Khairuddin tidak lama apabila dia membuat "u-turn" dari kenyataannya kepada akhbar sebelum ini. Pemimpin PAS Selangor pun "pakat-pakat" menafikan dakwaan Khairuddin itu. Satu lagi siri "drama ringkas" dari PAS Selangor.

Bagi pendapat saya mengenai teguran Hasan Ali itu, ada juga benar dan salahnya. Hasan Ali mahu SELCAT lebih lemah lembut dalam pendekatan penyiasatannya. Tanpa menyentuh hal-hal peribadi yang boleh mendatangkan rasa hina pada diri sendiri. Mungkin Hasan Ali mahu SELCAT menyiasat dengan cara memujuk rayu, gosok-gosok bahu dan ala-ala bermanja! Mungkin selepas itu individu yang disiasat itu akan "membuka mulut". Bukankah itu bersesuaian dengan Pakatan Rakyat yang juga merakyatkan individu yang disiasat.

Jika itulah maksud Hasan Ali, maka saya akan ketawa "guling-guling"! Bayangkanlah jika seorang pembunuh dan perompak disoal siasat dengan menggunakan cara sebegitu, apakah OKT itu akan mengaku kesalahannya? Sampai mati pun dia tak mengaku. Buat habis air liur sahaja. Mahu pula dilayan seperti raja, "naik lemak"lah OKT itu! Sebaiknya SELCAT yang merupakan "klon" SPRM itu haruslah mengkaji dan mencari jalan yang lebih bersesuaian menurut Islam dan logik akal keadaan zaman semasa ketika menjalankan siasatan. SPRM dan BPR sudah lama di dalam hal ehwal ini, begitu juga PDRM dan sebagainya, contohilah mereka dan perbaikilah yang mana tak sesuai. Ini tidak, kira nak kutuk orang sahaja. "Kutuk orang" itu pun sudah dikira tidak Islamik!

Demikian juga dengan kenyataan panas dan amarah yang dilemparkan kepada Hasan Ali yang terpampang di dada-dada akhbar. Mereka mengutuk Hasan Ali mengkritik Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor secara terbuka, namun mereka lupa bahawa mereka "juga" memaki hamun, mengutuk dan mencadangkan agar Hasan Ali dibuang dari PAS "secara terbuka". Hasan Ali sudah "dol", mereka sama juga "dol", maka sama-sama (same) "dol", maka Hasan Ali dan mereka sama-samalah SAMDOL. Seeloknya nama SELCAT diubah menjadi SAMDOL!

Bagi firasat saya juga, kisah ini tidak lain samalah juga dengan "drama siri" ketiga-tiga SAMDOL iaitu PAS, PKR dan DAP di Selangor. Samalah juga dengan cerita "arak, Ronnie Liu dan Hasan Ali" sebelum ini, cuma di dalam "chapter" yang berlainan. Cerita ini juga hanyalah untuk mencetus isu Pakatan Rakyat yang semakin tenggelam dengan gelombang 1Malaysia. Pakatan Rakyat sudah semakin tenggelam akibat muslihat mereka menipu rakyat, memfitnah dan memburuk-burukkan kerajaan BN. Malaysia sebelum ini hidup aman dan damai lebih dari 50 tahun, namun dengan kewujudan De Facto "Pengkhianat Islam, Bangsa dan Tanahair" seterusnya rakyat dihasut dengan momokan "busuk perut", maka Malaysia sudah pudar sedikit keharmoniannya. Malaysia yang dulu menjadi "model" kerajaan Islam majmuk ala Madinah Al-Munawwarah, kini tercemar sedikit akibat "rasukan agen wolfowitz"! Sedarlah wahai umat Islam dan rakyat Malaysia! Perosak Rakyat sedang menipu dan memanipulasi minda anda!

Friday, September 25, 2009

Sampah Di Alor Setar : Di Sebalik Tabir?


Saya berhari Raya di Kedah Darul Aman. Setiap tahun begitu. Iyalah, sememangnya kampung halaman saya di Alor Setar. Setiap kali Aidulfitri, saya akan menyusun "tour" Hari Raya bermula dari Alor Setar, kemudian ke Pendang, Guar Chempedak, Sg. Petani dan akhirnya kembali semula ke Alor Setar. Begitulah rutin kami di Hari Raya Aidilfitri.

Namun, setiap kali Aidilfitri disambut, masalah terbesar Alor Setar yang sudah sekian lama akan kembali ke benak fikiran. Komplen mulut sudah, komplen bertulis pun sudah dibuat. Dari zaman pemerintahan BN di Kedah sehinggalah kini, masalah sampah masih lagi menghantui penduduk Bandaraya Alor Setar. Kebetulan rumah ibu ayah saya terletak di dalam kawasan Alor Setar, maka keluarga saya turut "terseksa" akibat kemelut bau busuk sampah, jijik dan kekotoran kawasan masyarakat setempat. Dah "potong mood" untuk beraya, busuk!!! Sakit mata memandang! Alhamdulillah rumah saya jauh dari tong sampah, namun pada Pak Man dan Pak Sa'ud yang rumah mereka betul-betul depan tong sampah, hanya Allah yang tahu betapa seksanya mereka selama ini!

Ketika pemerintahan BN, masalah sampah ini sering dijadikan "modal" oleh pihak pembangkang PAS, PKR mahupun DAP. Mereka pernah menuduh bahawa BN tidak komited dalam kebersihan Alor Setar yang kini statuskan sebagai "bandaraya". BN dituduh tidak mengutamakan rakyat setempat. BN dikatakan gagal menyelesaikan masalah asas kehidupan rakyat. BN dikatakan tidak membuat kerja. Malah BN pernah dikatakan tidak prihatin terhadap masalah dan rungutan rakyat.

Namun, BN ketika itu tidak cepat melatah. BN telah membawa masalah ini untuk diutarakan kepada Kerajan Pusat. Dan hasilnya, BN Kedah telah berjaya menyakinkan Kerajaan Pusat untuk membantu menyelesaikan masalah ini dengan satu mekanisma yang lebih praktikal. Dikhabarkan bahawa E-Idaman, sebuah syarikat GLC kecil dibawah "Khazanah" telah ditubuhkan untuk mengambil alih segala penyelenggaraan sampah yang semakin kritikal di Alor Setar. Semua pekerja MBAS yang terlibat juga dikhabarkan diberikan pilihan "win-win situation" yang terbaik dan perkara ini disambut baik oleh para pekerja yang terlibat. Dikhabarkan bahawa insentifnya begitu menarik. Namun apakan daya, BN Kedah tewas pada PRU 12 yang lepas. Maka, perkara baik ini tertangguh buat sementara waktu.

Pakatan Rakyat pula yang berkuasa penuh di Kedah dibawah Ustaz Azizan Razak yang tidak pernah bermimpi atau menyangka bahawa dia akan menjadi seorang MB. "Bidan terjun" ini, bersama Exco-Exco "bidan terjun"nya pun mengayuh langkah meneruskan pentadbiran BN sebelum ini. Tiada yang baru atau idea perubahan hebat pun yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Semuanya di"tiru" bulat-bulat! Semua dasar BN sebelum ini diteruskan oleh PR, termasuklah soal SAMPAH di Alor Setar.

Pada awalnya, si Mahfuz pernah menyelar MBAS kononnya MBAS "sengaja" sabotaj Kerajaan PR Kedah. Padahal masalah sampah ini sudah timbul sejak kerajaan BN sebelum ini lagi. Apakah ketika itu MBAS juga cuba men"sabotaj" kerajaan BN? Dangkal benar dakwaan fitnah si Mahfuz ini. Mungkin orang-orang PAS akan tertipu dengan dakwaan "rendah IQ"nya itu. Dakwaan Mahfuz ini dikhabarkan telah menimbulkan ketidakpuasan hati staf MBAS. Namun, didiamkan saja kerana tidak mahu dibuang kerja oleh "tangan ghaib". Begitulah di peringkat awal pemerintahan PR di Kedah mengenai sampah di Alor Setar.

Setelah melihat tiada sebarang tindakan untuk menangani permasalahan SAMPAH di Alor Setar ini, saya secara peribadinya telah mengemukakan aduan bertulis kepada pihak Kerajaan PR Kedah. Pada mulanya, saya berbesar hati apa bila aduan saya mendapat perhatian dari pihak Kerajaan Negeri apabila saya menerima surat maklum balas mengenai hal ini. Namun, tunggu punya tunggu punya tunggu, bulan tak timbul-timbul.

Hampehhh! Masalah sampah lebih teruk! Sampah melimpah sampai masuk ke longkang. Longkang tersumbat akibat sampah dan ini telah menyebabkan rumah ibu ayah saya dimasuki air apabila hujan lebat. Banjir satu rumah. Penatlah juga ibu ayah saya yang sudah tua itu "menimba air" keluar dari rumah. Banyak jugalah perabot dan pekakas elektrik yang rosak. Nampaknya kerajaan PR Kedah yang baru ini lebih teruk "performance"nya. "Dulu depa kata kat BN, la ni depa lagi teruk pulak dahhh...silap la aku bagi undi kat "depa" dulu" itu adalah antara rungutan "pak-pak lebai" kejiranan setempat yang sebelum ini tertampal lambang "bulan"! Haru...!!!

Atas dasar 1Malaysia dan rakyat diutamakan, maka dikhabarkan oleh Azizan Razak bahawa November ini Alor Setar akan "bebas" dari masalah SAMPAH. Dikhabarkan olehnya bahawa sebuah syarikat swast akan menangani masalah sampah di Alor Setar. Tidak pula dikhabarkan olehnya dari mana syarikat itu "muncul". Tidak diberitahu pula "atas usaha siapa" masalah ini diselesaikan. Tidak pula dikhabarkan mengenai sebab "sebenar" penangguhan dari September sehingga diimplimentasikan pada November 2009. Tidak pula diwar-warkan "jasa" siapa yang prihatin mendengar rintihan rakyat! Namun bagi saya, biarlah! Lambat laun rakyat yang "cerdik" akan sedar juga mengenai "lembu punya susu, sapi dapat nama". Samalah sebagaimana kes projek "penapisan minyak", macam bagus je dia dapat nama masa majlis tandatangan kontrak tu!

Apa-apa pun, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang di "sebalik tabir" terhadap masalah rakyat Alor Setar ini. Nampaknya "pihak di sebalik tabir" ini begitu komited dengan keprihatinan terhadap rungutan rakyat yang sudah berdekad lamanya. Harap selepas ini Alor Setar akan "bersih" kembali. Jangan ada pula yang kata "depa di sabotaj"! Nak kena "smash" la tu! Tahniah kepada warga Alor Setar. Harapnya warga Alor Setar akan bekerjasama menjaga kebersihan Bandaraya tersayang itu. Bukan apa, dah muak tengok sampah berlonggok berulat tak terkutip setiap kali Raya!


*Mahfuz komplain kat sini

Friday, September 18, 2009

Aidilfitri..minal aeidil wal faizin...


Sempena menjelang Aidilfitri ini...
saya dengan rasa zuhud dan tawadhu' kepada Yang Maha Esa,
menyulam hati dan nurani dengan sengenap mualamah kehidupan,
saya menyusun jari memohon ampun dan maaf
kepada semua saudara dan saudari se-agama muslimin dan muslimat sekelian,
khususnya kepada yang mengenali diri saya.
Sesungguhnya kita semua manusia biasa yang tidak dapat lari dari dosa dan kesalahan,
kita bukan bertaraf maksum sebagaimana Rasulullah S.A.W...
...dari itu...
...maafkanlah saya..
...dari segenap sifat zahirnya...
...sehinggalah ke sudut batin yang paling dalam...
"kulla 'aamin wa antum bi khairin"

- ikhlas dari Duke

Wednesday, September 16, 2009

Melayu Lemah atau Cina India Khianat?


Dikatakan ada 2 faktor berlawanan yang menjadi faktor penyebab mengapakah BN kelihatan goyah dikala ini. Yang pertamanya ialah Melayu sedang lemah dan yang kedua pula ialah keadaan kaum Cina dan India yang berpaling tadah dari kepimpinan UMNO BN. Benarkah Melayu itu lemah? Dan benarkah Cina dan India membelot dan khianat?

Bagi sesetengah pemimpin UMNO, mereka begitu yakin bahawa BN telah dikhianati oleh kaum Cina dan India. Katanya Cina dan India tidak setia pada Barisan Nasional. Katanya Cina dan India ter"makan" dakyah "gula-gula" Pakatan Rakyat, khususnya Anwar Ibrahim. Malah ada juga yang menuduh bahawa MCA dan MIC sudah "kurang" kepercayaan kepada UMNO setelah Tun Dr. Mahathir meletak jawatan dahulu. Namun, kenapa pula selepas itu Tun Lah menang besar pada 2004. Saya difahamkan bahawa Tun Lah menang kerana dia membawa momentum kekuatan Tun M. Kemudiannya, oleh kerana ingin lari dari bayangan kepimpinan Tun M dan mencuba membina kreadibiliti sendiri, Pak Lah tewas teruk dalam sejarah BN pada pilihanraya 2008 yang membawa kepada desakan kepadanya untuk meletak jawatan. Jadi apakah kerana kesan perubahan pucuk pimpinan maka sokongan kaum Cina dan India juga berubah?

Hebat sangatkah Tun M ketika itu? Mungkin benar Tun M hebat ketika berada dipuncak. Namun kin, ada di dalam MIC yang berani mengalungkan "kalungan selipar" kepada Tun M. Malah Presiden MIC yang juga "biras" Tun M dengan selamba mengatakan bahawa "Tun M dulu pun tak pernah tolong sama kaum India di Malaysia". Begitu ungkapan Sammy Vellu kepada Tun M, bekas "boss"nya yang begitu berjasa kepada semua kaum di Malaysia. Dulu di"jilat"nya, kini di"selipar"nya. Kenapa? Kerana Tun M bukan lagi PM?

Tidak kurang dengan MCA. Chua Jui Meng yang mempunyai rupa iras-iras Anwar Ibrahim. Selepas di"gasak"nya MCA, kononnya setelah di"tipu"nya Ong Tee Kiat, Jui Meng sebok menghentam BN yang pernah menjadikannya seorang Menteri Kesihatan. Oleh kerana masalah dalaman MCA itu, UMNO juga yang diserang? Itu belum disebutkan lagi apabila Ong Tee Kiat membenarkan "poll" diblognya yang membuat bancian suara sama ada patut keluar dari BN atau kekal. Patutkah seorang Presiden parti komponen yang sudah tradisinya setia kepada BN, tiba-tiba boleh mengusulkan persoalan seumpama itu di blognya? Nampaknya, sikap kurang sopan yang menjadi kepantangan bangsa Melayu terbit juga dari sikap kedua-dua parti komponen ini.

Rentetan itu, Melayu dipersalahkan oleh kaum Cina dan India kerana termakan dakwaan pembangkang yang mengatakan bahawa Melayu tidak membantu apa pun terhadapa kaum lain. Malah pembangkang secara liar menuduh UMNO sebagai "racist", sedangkan mereka sendiri yang bersikap "racist". Melayu dikatakan gagal membela kemajuan dan kepentingan kaum Cina dan India. Pembangkang begitu hebat memecah belahkan MCAdan MIC dari UMNO. Kepada yang tidak kukuh setianya, pasti akan tumbang ditembusi peluru beracun dari Perosak Rakyat itu.

Malangnya, ada dikalangan kita yang juga tertipu dengan dakyah pembangkang itu. Kononnya BN tidak mampu memperjuangkan kepentingan pelbagai parti komponennya sebelum ini. Apakah mereka buta dengan pengorbanan yang dilakukan oleh kerajaan BN terutamanya UMNO yang telah meng"halal"kan tanahnya untuk dikongsi bersama dengan kaum-kaum yang dibawa oleh British satu masa dahulu. Apakah mereka lupa bahawa Tunku begitu hampir untuk menghantar kaum-kaum bukan pribumi Persekutuan Tanah Melayu ini untuk pulang ke tanahair asal usul masing-masing.


Sebenarnya, BN begitu banyak bejasa kepada kaum Cina dan India selama lebih dari 51 tahun merdeka. Pelbagai kemudahan dan hak-hak diberikan kepada mereka di Malaysia. Hinggakan hak untuk mengundi dan diundi juga diberikan. Hakikatnya masyararakat Cina dan India bebas bekerja, berniaga dan men"cari makan" di Malaysia. Mungkinkah hak-hak yang mereka nikmati ini dinikmati oleh bangsa Melayu jika bermastautin di negara China mahupun negara India?

Kini ada juga yang berpendapat bahawa "kita haruslah menjaga kepentingan dan menunaikan kehendak yang dituntut oleh kaum Cina dan India. Katanya, merekalah yang menjadi kuasa penentu politik di Malaysia. Undi dari mereka amatlah bernilai. Ada yang sanggup menolak bangsa pribumi sendiri dan mendahulukan kaum Cina dan India. Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Maka "naik tocang"lah beberapa golongan pelampau perkauman di Malaysia. Yang bukan-bukan dimintanya. Kontrak sosial pun digoncangnya! Malah institusi Di Raja juga semakin berani di cabar. Lebih hina lagi apabila ada "seorang brader" yang begitu tegar mengapi-apikan sentimen ini dan menyeru mereka untuk menuntut apa saja walaupun melampau hak mereka yang telah digariskan. Siapa dia? Alaaahh..yang "gila" nak jadi PM tu lahhh...

Apa pun, saya lebih bersetuju jika dikatakan bahawa kaum Tiong Hwa dan India "lari" dari BN kerana Melayu itu sendiri sudah lemah! Cina dan India bukan lari dari BN kerana BN tidak membela mereka sebagaimana yang mereka dakwa. Secara kajian, sudah banyak BN berjasa kepada kaum Cina dan India sejak merdeka. Mereka yang menafikan hal ini hanyalah mereka-mereka yang "kecewa". "Kecewa" kerana tidak dapat jawatan kabinet mungkin. Kaum Cina dan India lari kerana Melayu sudah lemah selepas era Tun M. Semakin lama semakin goyah. Siapalah yang ingin bersandar pada tiang seri yang goyah pasaknya? Hakikatnya, tiang seri itu harus dipasak kukuh ke bumi. Tiang seri itu sudah semakin kukuh sekarang. Tiang seri itu kini sudah kenal siapa kawan yang setia dan siapa yang hanya "parasit" di dalam Barisan Nasional!