Thursday, January 29, 2009

YB BOTA & KERAKUSAN POLITIK PKR.


Baru-baru ini politik Negeri Perak gempar lagi apabila ADUN Bota, Nasaruddin Hashim telah meninggalkan parti UMNO dan serta merta menyertai Pakatan Rakyat dibawah parti PKR. Maka berkuranglah bilangan pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak yang diketuai oleh UMNO. Satu tamparan lagi kepada UMNO, dan satu kemenangan lagi untuk penyokong PKR. Yang pasti hakikatnya, pengundi-pengundi BN di Bota lah yang menerima padahnya dek tertipu oleh lompatan bergalah ADUN pilihan mereka pada 8 Mac tahun lepas.


Khabar mengatakan bahawa tindakan ADUN Bota tersebut meninggalkan UMNO adalah disebabkan kekecewaan beliau kepada UMNO. Itulah yang didakwa. Jika dinilai dari alasan ini, maka buruknya tentulah pada UMNO.


Sehari selepas itu, saya mendapat khabar mengatakan bahawa kemasukan Nasaruddin ini bukanlah satu kejutan bagi UMNO. Sumber menyatakan bahawa beliau telah kalah dalam perebutan pemilihan kerusi Ketua Bahagian pada Disember lepas. Satu kekecewaan. Kecewa apabila egonya sebagai ADUN tercalar apabila tidak dipilih akar umbi Bahagiannya. Kontraknya sebagai Pengerusi Felcra ditempatnya juga tidak disambung pengurusan Felcra. Kekecewaan yang kedua. Dikhabarkan juga, beliau telah "dirisik"terlebih awal oleh orang-orang tertentu dari pihak PKR, memujuk beliau untuk menyertai PKR. Beliau "dipinang" dengan harga kerusi MB katanya. Apabila kerusi MB menjadi "mahar"nya, maka tergodalah beliau dengan pinangan tersebut. Lantaran pemilik kerusi MB dikala ini iaitu YB Nizar dari PAS tidak disenangi rakyat Perak dan khabarnya Istana juga tidak menggemari keputusannya mengenai "isu tanah 999 tahun", maka bertambah cerahlah jalan YB Nasaruddin menuju puncak Negeri Perak. Untuk maelantik YB dari PKR yang sedia ada (YB Jamal) pun hanyalah berpengalaman dalam urusan hantar menghantar surat (bekas posmen) berbanding YB Nasaruddin yang memiliki ijazah berpendidikan tinggi, maka inilah masa yang palingtepat untuk melantik MB Perak dari kalangan YB PKR. Nampaknya, jelas motif peralihan parti ini oleh YB Nasaruddin. Berkepentingan rupa-rupanya. Ada udang di sebalik batu...


Setelah itu, saya juga mendapat khabar dari seorang teman di Perak. Teman saya ini menyatakan bahawa tindakan YB Nasaruddin ini adalah kerana kekecewaan beliau terhadap pengurusan kepimpinan UMNO Negeri yang di ketuai oleh Tajol Rosli yang mengetepikan ADUN UMNO berbanding ketua-ketua bahagian. Kekecewaan ADUN-ADUN UMNO di Perak juga dilahirkan oleh salah seorang ADUN Perak baru-baru ini. Mereka merasakan di"anak tiri"kan dan tidak terbela. Dikhabarkan juga ada beberapa ADUN lagi yang akan menyusul mengikut jejak YB Nasaruddin. Jika khabar ini benar, maka mungkin "sedekah" dari PKR akan bertaburan juga di Perak. Bukankah PKR terkenal dengan "sedekah"nya?


Di antara ketiga-tiga alasan ini, jelaslah YB Nasaruddin disifatkan sebagai tidak setia, khianat, berpaling tadah dan mementingkan diri sendiri. YB Nasaruddin tidak setia kepada parti UMNO dan sanggup menyertai perjuangan parti yang ditubuhkan atas kepentingan peribadi De Facto PKR iaitu Anwar Al-Juburi (maaf Dato' Seri Anwar, kiranya itulah gelaran yang diberikan oleh Naib Presiden PAS iaitu En. Mohammad Sabu kepada Dato' Seri). YB Nasaruddin khianat pada perjuangan Islam, anak bangsa Melayu dan Malaysia yang dahulu bernama Persekutuan Tanah Melayu. YB berpaling tadah atas amanah yang diberikan kepada YB oleh para pengundi-pengundi DUN Bota yang bermati-matian mengundi YB atas dasar kepercayaan bahawa YB bisa membela nasib mereka diperingkat Negeri Perak. Dan YB mementingkan diri sendiri dengan menolak nasib Islam, bangsa Melayu dan Malaysia apabila beralih arah kepada sebuah parti yang terang-terangan menolak agenda Islam, hak-hak pribumi dan Malaysia di dalam perjuangan mereka. Maka, jatuhlah YB dalam golongan seperti itu.


YB Nasaruddin, saya memohon maaf sekiranya YB tersinggung dan marah atas tulisan saya ini. Bukanlah saya ingin memburukkan YB dikhalayak umum. Itu bukan niat saya. Saya menulis agar YB dan rakan-rakan YB di Perak, secara amnya seluruh YB di Malaysia ini supaya sedarkan diri bahawa anda semua dipilih oleh rakyat setempat. Anda semua diangkat memegang amanah sesebuah parti politik. Anda berkhidmat untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri. Anda semua mestilah berpegang kepada amanah Allah itu sebaik-baiknya dan jangan mengkhianati rakyat jelata yang anda wakili. Anda semua lupa bahawa Allah akan menaikkan sesuatu yang benar dan menurunkan segala yang batil, jika tidak di dunia, mungkin di akhirat. Lupakah YB-YB semua pada padang Mahsyar yang dijanjikan Allah? Sepatutnya YB berfikir lebih panjang. Sepatutnya YB bersabar. Sesungguhnya YB harus berpegang pada dasar UMNO yang sebenar, perjuangan Alif, Ba, Ta. Dan sesungguhnya Allah Maha Adil lagi Bijaksana.


Wallahua'alam.

Friday, January 23, 2009

UMNO Era Najib : Apa yang kita mahu?


Assalamualaikum dan salam perjuangan...


Semakin hampir UMNO kepada peralihan kuasa. Terima kasih sekalung budi untuk Pak Lah yang sedia berkorban jawatan dan kesediaan untuk melepaskannya kepada DS Najib. Pada bulan Mac yang tidak lama lagi akan hadir, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan menyaksikan Pak Lah tiada sebarang pencalonan untuk jawatan Presiden UMNO dan DS Najib mendapat mandat penuh dari semua pencalonan Bahagian UMNO seluruh negara. Hatta DS Najib menang tanpa bertanding jawatan tertinggi parti dengan mendapat pilihan majoriti melebihi kuota dan tak dapat ditandingi lagi! Setinggi-tinggi tahniah utk Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Abd. Razak!


Kini kita tahu UMNO berada di dalam kemelut dan "sakit tenat". "Belum kebah" kata orang Kedah! Sebulan dua sebelum peralihan kepimpinan ini saya terfikir, apakah yang kita mahukan dari kepimpinan baru UMNO ini kelak? Apakah yang kita dambakan? Apakah yang rakyat seperti kita ini perlukan? Apakah lagi yang bakal dapat UMNO era Najib sumbangkan kepada Islam, Melayu dan Malaysia? Apakah perubahan yang kita mahukan dari DS Najib? Sama-sama lah kita bincangkan. Sebarang komen dan cadangan amat-amat dihargai. Terima kasih.


Wallahua'alam...

Thursday, January 22, 2009

UMNO PERLU PERUBAHAN RADIKAL


Maafkan saya sebab dah lama tak update blog. Sebok sebenarnya. Ada pelbagai komitmen yang perlu saya selesaikan. Rutin harian dan agenda-agenda yang hadir, menyebabkan saya tertinggal tentang isu-isu terkini seperti PRK Kuala Terengganu dan sebagainya. Maafkan lah saya...


Sehari dua ini, saya terbaca tentang kenyataan-kenyataan oleh beberapa pemimpin tertinggi UMNO tentang perlunya perubahan radikal di dalam UMNO. Dato' Seri Najib yang bakal menerajui UMNO pada Mac ini, menegaskan tentang "pembaharuan dan perubahan yang radikal". Calon favorite untuk Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin juga menyatakan perkara yang sama. Malah ayahanda Tun Dr Mahathir, juga menyatakan bahawa UMNO amat perlu kepada perubahan drastik. Dato' Mukhriz, calon favorite Ketua Pemuda UMNO juga menjadikan tag line kempennya sebagai "berani berubah". Begitu juga calon Ketua Pemuda, Dato' Seri Dr. Khir menyatakan bahawa Barisan Pemuda kini harus berani melakukan perubahan dan berani menghadapi perubahan.


Dari itu saya menyeru supaya Dato' Seri Najib mengetuai segala perubahan yang bakal dilakukan oleh UMNO. Najib mestilah memulakan gerakan perubahan radikal itu. Beliau mestilah mengambil sikap pro aktif dalam segenap aspek demi memastikan survival UMNO dapat diteruskan. Najib mengambil alih UMNO di saat UMNO sedang "tenat" dan "sakit". Najib lebih banyak turun padang dan mendekati rakyat, bukan sebagai pemimpin, tetapi sebagai rakyat biasa yang ingin menyelami jiwa rakyat.


Tan Sri Muhyiddin dan para kepimpinan UMNO peringkat tertinggi juga harus bertindak demikian. Bukan untuk mempopularkan diri, tetapi untuk menebus kembali apa yang mereka alpa dan lupa. Tanggung jawab itu harus dipikul bersama tanpa sebarang kepentingan peribadi, sebaliknya demi perjuangan dan dasar UMNO untuk berkhidmat kepada rakyat. Rakyat perlukan pemimpin yang memahami, bukan pemimpin yang hanya pentingkan diri dan kedudukan. Pemimpin pusat perlu turun padang...


Kerahan secara besar-besaran perlu diadakan kepada semua ketua-ketua bahagian, wanita, pemuda dan puteri. Jangan hanya sekadar menjadi tukang kipas kepada pemimpin pusat yang datang mengunjung. Berkhidmatlah kepada rakyat, bukan selepas menang bertanding kalian semua mendabik dada dan lari dari tanggungjawab. Ingatlah amanah yang diberikan rakyat yang memilih. Jagalah kepentingan mereka, bukan kepentingan kamu. Masalahnya, harapkan pagar, pagar makan padi. Harap-harap Dato' Seri Najib beri perhatian kepada masalah sikap ketua-ketua yang dipilih ini. Jangan percaya sangat kepada mereka bulat-bulat. Pantaulah mereka agar UMNO kembali harum dimata rakyat!


Akar umbi sudah muak. Ikut trend terkini, rakyat memilih pembangkang, kerana kononnya pembangkang membawa perubahan. Padahal pembangkang lebih teruk! Jadi, pada UMNO lah kita berharap untuk berubah. Rakyat jelata perlukan perubahan yang lebih baik, bukan perubahan kerajaan. Jika UMNO tidak mahu berubah, maka rakyat tidak punya banyak pilihan selain menukar kerajaan demi mendambakan perubahan yang mereka idamkan...


Wallahua'alam...