Iklan Berbayar

Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Portal Berita Kedah

Saturday, December 20, 2008

Sembang Politik Wang


Perihal politik wang masih lagi hangat diperkatakan. Istilah politik wang, wang politik, rasuah politik, vitamin, gula-gula, dan sebagainya merupakan satu istilah yang sedang bermain dibibir mereka-mereka yang telah memenangi pemilihan UMNO sama ada diperingkat cawangan mahupun bahagian baru-baru ini. Dari peringkat UMNO bahagian, ke peringkat wanita UMNO bahagian, ke peringkat Pergerakan Pemuda UMNO bahagian mahupun sayap bongsu, Puteri UMNO bahagian, tidak terkecuali masih "soksek-soksek" tentang perkara ini. Ada yang mencebik, ada yang tersenyum, ada yang marah menyinga dan ada yang ketawa berdekah-dekah. Yang pasti, imej UMNO telah tercemar dengan isu panas ini. Saya memantau cakap-cakap mengenai politik rasuah ini dari segenap masyarakat, terutamanya ahli-ahli UMNO, mahupun pihak pembangkang. Mereka mempunyai hujah, pendapat dan pendirian tersendiri mengenai perkara ini.


Ada yang mengatakan bahawa politik wang ini adalah perkara perlu bagi setiap pemilihan jawatan parti. Mereka berpendapat bahawa politik wang adalah sebagai saguhati, duit minyak, tanda terima kasih dan "balas budi" untuk tangan mereka yang mengangkat sokongan bagi calon-calon tertentu. Ada pula yang berpendapat bahawa, calon-calon mestilah meng"hulur"kan "sesuatu", jika tidak...calon tersebut akan dianggap kedekut, pelokek, tangkai jering atau taik hidung masin! Ada juga yang berpendapat bahawa calon-calon mestilah kaya raya, jika mereka miskin...jangan harap nak dapat jawatan walaupun sekadar pengerusi tetap bahagian!


Ada yang mengatakan bahawa politik wang ini adalah satu pengkhianatan, satu dosa, salah sama sekali dari sudut agama Islam, salah di sisi undang-undang negara, satu perbuatan yang tidak berakhlak dan tidak bermoral, satu perbuatan yang tidak amanah. Malah ada yang mengecam perbuatan ini sekeras-kerasnya. Mereka yang boleh dibeli dengan wang, yang menggadaikan maruah diri, menjual perjuangan UMNO dan mempertaruhkan hala tuju politik UMNO adalah jijik dipandangan masyarakat adalah sama sekali tidak layak untuk menerajui kepimpinan UMNO hatta diperingkat UMNO Cawangan sekalipun, apatah lagi diperingkat UMNO Pusat. Golongan ini begitu vokal mendesak dan menolak rasuah politik. Mereka mementingkan agenda perjuangan Islam, anak bangsa Melayu dan Tanah Melayu. Mereka tidak rela UMNO digadaikan sebegitu murah. Mereka sayang UMNO!


Hakikatnya, siapakah yang benar dan siapakah yang salah? Mari kita rujuk dahulu kepada Islam yang menjadi asas rujukan pegangan kita. Islam melarang keras amalan rasuah mahupun perkara yang syubhah kepada rasuah. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Ar-rasyi wal murtasyi fin nar..." yang membawa maksud bahawa "mereka yang memberi rasuah dan menerima rasuah akan masuk ke dalam neraka...". Ini bermakna, Islam menolak sama sekali amalan rasuah dikalangan hambanya. Dari segi undang-undang negara kita, rasuah adalah menjadi satu kesalahan, jika tidak...tak kan wujudnya BPR...kan? Malah amalam rasuah juga tidak diterima masyarakat mana pun di dalam dunia ini. Pernahkah anda mendengar sesiapa yang menyokong rasuah secara terang-terangan? Tentu sekali tidak. Hatta perasuah sendiri pun sering melaung-laungkan bahawa "kita mestilah menolak rasuah..!!!" (nak termuntah saya mendengarnya!).


Saya amat kesal kerana perkara ini sedang menular kepada segelintir (bukan semua) pemimpin UMNO yang baru nak menapak di dalam politik. Saya terdengar "sembang-sembang kedohok" yang mengatakan bahawa Puteri UMNO bahagian pun sudah pandai "menabur"! Malah ada seorang naib ketua puteri bahagian di utara ini yang terang-terang mengaku kepada ketuanya bahawa tujuannya menjadi naib ketua puteri adalah untuk mengumpul kekayaan dan wang ringgit supaya dia boleh menjadi ketua puteri bahagian pada penggal yang akan datang. Mengucap panjang ketua puteri tersebut dengan pengakuan berani dari naibnya itu. Padahal si Ketua Puteri itu siang malam bekerja melobi berkempen tanpa mengamalkan politik wang pun. Lagi pun , si ketua puteri itu bukan dari golongan berada pun....dia pun cukup-cukup makan je! Tapi nasib baik lah si ketua puteri itu tidak cepat melatah. Dia hanya tersenyum dan mengucapkan "good luck" kepada naibnya. Begitu lah salah satu cerita dari sayap bongsu UMNO, puteri yang baru belajar bertatih...


Kesimpulannya, saya ingin menegaskan...jauhilah politik rasuah. Ianya salah dari sudut Islam, undang-undang dan tidak bermoral. Janganlah UMNO di cemari oleh budaya tidak sihat ini. Jika anda pernah berbuat demikian, maka ingatlah...Allah akan memperhitung setiap sen yang kamu dapat pada hari kiamat di padang mahsyar kelak. Janganlah pemimpin-pemimpin UMNO kita dimalukan lagi dengan isu ini. Hanya kerana segelintir sahaja yang pemimpin yang korup, maka semua pemimpin yang tidak bersalah diheret sama. Sesungguhnya, UMNO masih lagi kaya dengan pemimpin-pemimpin yang ikhlas dan tidak mengamalkan politik wang atau rasuah. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!


p/s: InsyaAllah, yang mana yang salah akan kita perbaiki bersama-sama...asalkan ikhlas! Marilah kita bersama-sama menolak rasuah politik dan bersihkan nama UMNO. Semoga UMNO kembali gagah untuk Islam, anak bangsa Melayu dan Tanah Melayu...apabila UMNO kukuh, maka segenap lapiasan rakyat kaum dan agama akan sama-sama menikmati kemakmuran Malaysia! InsyaAllah....

Bila Kak Su Bersuara... Heh!