Iklan Berbayar

Himpunan Anak-Anak Kedah!

Himpunan Anak-Anak Kedah!
Sapa Rasa Dia Anak Kedah, Sila LIKE Page Ni... Tengkiu!

Portal Berita Kedah

Monday, April 21, 2008

Assalamualaikum...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...pembuka bicara...
Hari ini merupakan hari bersejarah untuk saya. Hari ini saya melancarkan sebuah blog nukilan dan cetusan rasa untuk kali pertama. Setelah menangguhkan selama beberapa lama, saya melancarkan bloq ini atas rasa rendah diri dan zuhud.
Kita hanya merancang dan hanya Allah S.W.T yang akan menentukan hala tuju kehidupan. Namun, sebagai hamba Allah dimuka bumi ini, kita diciptakan untuk menyembah dan memperhambakan diri padaNya, sementara Dia mengambil kembali apa telah dipinjamkan pada kita. Di dunia yang sementara ini kita meneruskan hidup yang telah diamanahkan Allah sebagai ujian untuk menjadi bekalan pada hari yang telah dijanjikan Allah iaitu hari pembalasan. Jika baik belaka amalan kita di dunia ini, maka baiklah balasannya. Dan jika buruk jelik perbuatan kita di dunia ini, maka kejilah kita di hari pembalasan kelak.
Di dalam kehidupan ini, selain kita memperjuangkan kehidupan kita sebagai individu, kita hidup berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan berdaulah. Sebagai individu, kita menunaikan tanggungjawab kepada diri kita sendiri dengan menjaga kesihatan, makan minum, perasaan dan tanggungjawab melahirkan rasa syukur kita pada Allah yang Maha Menjadikan.
Kebanyakkan kita berkeluarga. Keluarga adalah institusi kedua terpenting didalam hidup kita selepas diri sendiri. Ayah, ibu, suami, isteri, datuk, nenek, kakak, abang, adik, sepupu sepapat, bapa & ibu saudara , anak saudara, cucu cicit, ipar duai dan sebagainya menjadi sebahagian dari kehidupan kita seharian. Jangan sesekali lupa, kita punya tanggungjawab besar pada mereka terutama mereka yang melahirkan kita. Kepada yang tua, kita hormati, dan kepada yang lebih muda kita sayangi.
Jiran juga adalah salah satu hak yang dituntut di dalam kehidupan kita didunia ini. Hak-hak jiran dituntut oleh agama di mana Rasulullah S.A.W ada bersabda tentang kepentingan hak-hak jiran yang perlu kita penuhi. Walau terbau sedikit aroma masakan kita, hendaklah kita sebaik-baiknya tidak lupa untuk menghulurkan sedikit masakan tersebut pada jiran-jiran kita, agar dikongsi bersama rezeki yang Allah kurniakan pada kita. Begitulah indahnya kehidupan dalam keharmonian hidup berjiran. Namun, amat dikesali jika di zaman ini, ada diantara kita yang tidak mengenali sama sekali jiran sebelah menyebelah. Sebok dengan urusan masing-masing sehingga lupa pada hak kejiranan yang dituntut.
Masyarakat sekeliling dilupa jangan. Kehidupan ini bersyarakat. Kita di Malaysia ini, hidup berbilang bangsa dan kaum. Adat resam budaya bertoleransi sesama kita harus diterapkan. Agama juga begitu. Janganlah kita hanya mementingkan diri sendiri sehingga menafikan hak-hak kaum dan bangsa lain. Di zaman Rasulullah juga mereka hidup berbilang kaum dan agama. Yahudi, nasrani, arab badawi dan sebagainya hidup harmoni dibawah pemerintahan Baginda S.A.W. Begitu juga kita di Malaysia. Melayu, India, Tiong Hua, Sikh, Kadazan, Murut, Bidayuh, Bajau dan banyak lagi, harus hidup bersatu didalam masyarakat majmuk dan saling memahami keperluan antara satu sama lain.
Kita hidup didalam satu negara berdaulat. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan demokrasi berparlimen. Institusi Raja-Raja menjadi tulang belakang kepada kerajaan Malaysia. Rakyat bernaung dibawah payungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dengan dibantu oleh Perdana Menteri dan Timbalannya, serta ahli-ahli kabinet yang dilantik. Di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ada wakil-wakilnya, yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum. Kemajuan, pembangunan, keharmonian, ekonomi, sosial dan hala tuju Malaysia bergantung sepenuhnya pada mereka dalam merealisasikan harapan rakyat yang telah memilih mereka. Di harap agar mereka memikul tanggungjawab ini dengan seikhlas hati dan rasa penuh tanggungjawab serta komitmen yang kukuh.
Namun, jangan lupa! Satu-satu yang paling perlu di dalam kehidupan kita. Satu-satunya yang mesti dan wajib diletakkan di satu tempat yang paling atas didalam kehidupan kita iaitu AGAMA. Kita wajib menjunjung Agama diatas batu jemala, mengatasi diri sendiri, kaum keluarga, jiran, masyarakat, bangsa dan negara. Jika kita taat memenuhi dan mengikut ajaran Agama maka secara tidak langsung, maka lengkaplah keperluan diri, keluarga, jiran, masyarakat, bangsa dan negara. Agama itu lengkap segalanya. Malangnya, ada diantara kita yang sanggup meletakkan keduniaan melebihi Agama. Menonton televisyen, konsert atau wayang hingga lupa solat, berkelah ditepi pantai bersama keluarga sehingga lupa mengajak mereka bersolat, menghadiri jamuan dan keraian sehingga lupa batasan pergaulan aurat, malah ada yang berpolitik sehingga memutuskan silaturrahim caci cerca mengkafirkan sesama Islam dan meniagakan Islam demi kuasa! Itulah realiti dunia sekarang. Yang paling pasti, umat Islam di zaman ini telah berjaya dipisahkan dengan Al-Quran dan Sunnah oleh Yahudi Nasrani laknatullahi alaihim.
Akhir kata untuk kali ini, bangunlah wahai Melayu Muslim di Malaysia tercinta ini. Bersatulah mengikut saranan Islam sebenar. Janganlah kita tertipu dengan mainan mereka-mereka yang berkepentingan dengan menjual Islam demi pengaruh dan kuasa. Ulama'-ulama' silam sanggup dipenjarakan demi mengelak dari memegang jawatan yang amat berat tanggungjawabnya. Tetapi mereka-mereka yang menggelarkan diri mereka "ulama" sanggup menawarkan diri dan mengotorkan kesucian Islam demi kuasa. Sedarlah! Kehidupan ini hanya sementara. Didepan Allah nanti, seorang hamba sahaya adalah lebih mulia jika timbangan amalan pahalanya melebihi amalan raja atau pemerintah yang zalim. Semoga kita semua diberikan hidayah petunjuk oleh Allah S.W.T didalam kehidupan yang serba mencabar ini.
Wallahu'alam...

Bila Kak Su Bersuara... Heh!