Tuesday, April 29, 2008

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia : Paradigma Kepimpinan Masa Depan

Assalamualaikum, dan salam sejahtera...
Dato' Seri Hisyamuddin akan melepaskan jawatannya pada pemilihan Disember ini. Itu yang pasti. Setakat ini, dua calon telah mengumumkan kesediaan masing-masing untuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi di dalam pergerakan sayap kanan UMNO ini. Dato' Seri Khir Toyo dan Dato' Mukhriz Mahathir telah pun menawarkan diri. Dalam pada itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, saudara Khairy Jamaludin masih lagi membisu, walaupun ada gesaan untuk beliau turut bertanding kerusi tersebut. Itulah di antara calon-calon utama yang disebut-sebut untuk menggantikan Dato' Seri Hisyamuddin.
Buat Dato' Seri Hisyamuddin, saya secara peribadi mengucapkan berbanyak terima kasih diatas kepimpinan beliau selama ini. Bermula dengan keadaan Pemuda UMNO yang goyah, beliau telah berjaya mengukuhkan kembali sayap utama UMNO tersebut. Tahniah Dato' Seri. Namun, tidak dinafikan bahawa beliau juga diuji dengan pelbagai kontroversi sepanjang tempoh kepimpinan. Di saat akhir ini, beliau sekali lagi menimbulkan konstroversi dengan memohon maaf berkenaan isu "keris dijulang". Tindakan beliau mendapat pelbagai komen, ada yang menyokong dan ada yang mencebik tanda protes. Namun bagi saya, itulah asam garam politik, ada yang suka dan ada tidak. Bagi saya, saya menghormati pendirian beliau, sama ada beliau bersalah atau tidak, beliau tetap meminta maaf. Positif, bersihkan nama dan "gentlemen" sebelum meninggalkan Pemuda UMNO: satu tindakan yang boleh dipuji dan "selamat".
Dato' Seri Khir Toyo. Antara kelahiran hebat dari Pemuda UMNO. Pemimpin yang vokal dan kukuh pendirian. Berprinsip dan bermaruah. Beliau mencalonkan diri untuk kerusi tertinggi Pemuda UMNO atas kredibiliti tersendiri. Mantan MB Selangor, mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan antara MT yang mendapat pencalonan tertinggi pada pemilihan yang lepas, mempertaruhkan karier politik beliau. Berbekalkan pengalaman yang teruji dengan pelbagai kejayaan kemajuan di Selangor dan tak kurang juga dengan konstroversi yang mampu beliau tangani dengan bijak, tidak dinafikan bahawa beliau mampu menguruskan Pergerakan Pemuda UMNO ke arah yang lebih baik. Beliau mempunyai karektor yang kuat dan teguh dalam tindakan, sesuai kepada jawatan yang bakal beliau tandingi. Selamat maju jaya Dato' Seri..!!!
Dato' Mukhriz Mahathir. Exco Hubungan Antarabangsa dan NGO. Mendapat undi tertinggi pemilihan Exco Pemuda UMNO. Dahulunya bersikap "low profile" dan hanya dikenali tentang AMAN Malaysia. Namun, siapa yang tidak kenal dengan beliau kini. Dahulunya, dihalang dari bertanding kerusi Parlimen atau DUN oleh bapanya sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri Malaysia. Calon konstroversi apabila dicalonkan di P5 Jerlun pada PRU-12 dan menang bergaya, walaupun ada cerita yang mengatakan bahawa beliau disabotaj ketika saat akhir pengumuman pencalonan dan berkempen. Alhamdulillah, berkat doa ayahanda dan bonda yang merestui, sokongan padu rakan-rakan dan pengundi Jerlun yang bijak dan setia, Dato' Mukhriz berjaya menjadi wakil orang ramai di Parlimen kawasan tersebut. Tahniah Dato'! Beliau vokal, teguh pendirian dan berpandangan kritis, juga sesuai mengisi kekosongan yang bakal Dato' Seri Hisyamuddin tinggalkan.
Khairi Jamaluddin @ KJ. Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Menang tanpa bertanding setelah diberi laluan. Menantu kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bekas pelajar Oxford Universiti. Ahli Parlimen Rembau. Beliau dikatakan sepatutnya menggantikan Dato' Seri Hisyamuddin atas dasar "tradisi". Calon paling konstroversi. Beliau mempunyai reputasi yang agak kurang memuaskan. Selain gagal menawan Kelantan pada kempen PRU-12 (18,Pade doh!), beliau juga dikatakan sebagai antara faktor terbesar kemerosotan BN pada PRU-12 yang lalu. Beliau katanya digambarkan sebagai "sombong" dan "angkuh" oleh pihak lawan. Beliau juga tidak disenangi oleh segolongan ahli-ahli UMNO yang lain. Walaupun terdapat gesaan agar beliau bertanding jawatan tertinggi Pergerakan Pemuda UMNO, namun beliau di lihat masih membisu sehingga kini. Mungkin beliau mengambil jalan "tunggu dan lihat".
Siapakah yang bakal menerajui Pergerakan Pemuda UMNO selepas Dato' Seri Hisyamuddin? Apakah kita akan menyaksikan pertandingan 2 penjuru? Atau 3 penjuru? Atau lebih? Angin membawa khabar bahawa calon-calon berkenaan telah mula berkempen kini. Berkempen sebelum mesyuarat pemilihan peringkat cawangan? Sudah semestinya. Populariti dan personaliti menjadi taruhan. Yang pasti tiada taruhan wang ringgit. Berjuang demi agama, bangsa dan negara menjadi agenda, bukan kepentingan diri sendiri. Berkempenlah dengan sihat. Bersainglah dengan ikhlas. Martabatkan suara Pemuda UMNO ke atas, sebagaimana dipraktikkan oleh Ketua-ketua Pemuda UMNO yang lalu. Berani, idealistik, vokal dan teguh!
Jawapannya ialah terpulang pada pencalonan dari Pemuda-Pemuda UMNO Bahagian. Pemuda-Pemuda Bahagian bakal menentukan bakal Ketua mereka. Perlu di ingat, Ketua tersebut bakal menerajui hala tuju Pergerakan Pemuda UMNO untuk masa depan. Jangan pula silap memilih. Buruk padahnya. Undilah Ketua yang sememangnya boleh diharap mewarisi kegemilangan tokoh-tokoh kepimpinan UMNO seperti Tunku, Tun Hussein, Tun Razak dan Tun Mahathir. Kerana perjalanan Ketua Pemuda UMNO Malaysia selalunya akan lebih jauh sehingga ke puncak kepimpinan negara. Mereka yang dipilih haruslah berpegang pada Islam sebagai pegangan asas rujukan. Ketua tersebut mestilah berpegang pada warisan adat budaya pertuanan Melayu. Ketua tersebut mestilah sayang pada tanahair kita, Malaysia. Selamat bertanding YB-YB semua...!!!
Wallahua'alam.

Monday, April 21, 2008

Assalamualaikum...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...pembuka bicara...
Hari ini merupakan hari bersejarah untuk saya. Hari ini saya melancarkan sebuah blog nukilan dan cetusan rasa untuk kali pertama. Setelah menangguhkan selama beberapa lama, saya melancarkan bloq ini atas rasa rendah diri dan zuhud.
Kita hanya merancang dan hanya Allah S.W.T yang akan menentukan hala tuju kehidupan. Namun, sebagai hamba Allah dimuka bumi ini, kita diciptakan untuk menyembah dan memperhambakan diri padaNya, sementara Dia mengambil kembali apa telah dipinjamkan pada kita. Di dunia yang sementara ini kita meneruskan hidup yang telah diamanahkan Allah sebagai ujian untuk menjadi bekalan pada hari yang telah dijanjikan Allah iaitu hari pembalasan. Jika baik belaka amalan kita di dunia ini, maka baiklah balasannya. Dan jika buruk jelik perbuatan kita di dunia ini, maka kejilah kita di hari pembalasan kelak.
Di dalam kehidupan ini, selain kita memperjuangkan kehidupan kita sebagai individu, kita hidup berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan berdaulah. Sebagai individu, kita menunaikan tanggungjawab kepada diri kita sendiri dengan menjaga kesihatan, makan minum, perasaan dan tanggungjawab melahirkan rasa syukur kita pada Allah yang Maha Menjadikan.
Kebanyakkan kita berkeluarga. Keluarga adalah institusi kedua terpenting didalam hidup kita selepas diri sendiri. Ayah, ibu, suami, isteri, datuk, nenek, kakak, abang, adik, sepupu sepapat, bapa & ibu saudara , anak saudara, cucu cicit, ipar duai dan sebagainya menjadi sebahagian dari kehidupan kita seharian. Jangan sesekali lupa, kita punya tanggungjawab besar pada mereka terutama mereka yang melahirkan kita. Kepada yang tua, kita hormati, dan kepada yang lebih muda kita sayangi.
Jiran juga adalah salah satu hak yang dituntut di dalam kehidupan kita didunia ini. Hak-hak jiran dituntut oleh agama di mana Rasulullah S.A.W ada bersabda tentang kepentingan hak-hak jiran yang perlu kita penuhi. Walau terbau sedikit aroma masakan kita, hendaklah kita sebaik-baiknya tidak lupa untuk menghulurkan sedikit masakan tersebut pada jiran-jiran kita, agar dikongsi bersama rezeki yang Allah kurniakan pada kita. Begitulah indahnya kehidupan dalam keharmonian hidup berjiran. Namun, amat dikesali jika di zaman ini, ada diantara kita yang tidak mengenali sama sekali jiran sebelah menyebelah. Sebok dengan urusan masing-masing sehingga lupa pada hak kejiranan yang dituntut.
Masyarakat sekeliling dilupa jangan. Kehidupan ini bersyarakat. Kita di Malaysia ini, hidup berbilang bangsa dan kaum. Adat resam budaya bertoleransi sesama kita harus diterapkan. Agama juga begitu. Janganlah kita hanya mementingkan diri sendiri sehingga menafikan hak-hak kaum dan bangsa lain. Di zaman Rasulullah juga mereka hidup berbilang kaum dan agama. Yahudi, nasrani, arab badawi dan sebagainya hidup harmoni dibawah pemerintahan Baginda S.A.W. Begitu juga kita di Malaysia. Melayu, India, Tiong Hua, Sikh, Kadazan, Murut, Bidayuh, Bajau dan banyak lagi, harus hidup bersatu didalam masyarakat majmuk dan saling memahami keperluan antara satu sama lain.
Kita hidup didalam satu negara berdaulat. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan demokrasi berparlimen. Institusi Raja-Raja menjadi tulang belakang kepada kerajaan Malaysia. Rakyat bernaung dibawah payungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dengan dibantu oleh Perdana Menteri dan Timbalannya, serta ahli-ahli kabinet yang dilantik. Di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ada wakil-wakilnya, yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum. Kemajuan, pembangunan, keharmonian, ekonomi, sosial dan hala tuju Malaysia bergantung sepenuhnya pada mereka dalam merealisasikan harapan rakyat yang telah memilih mereka. Di harap agar mereka memikul tanggungjawab ini dengan seikhlas hati dan rasa penuh tanggungjawab serta komitmen yang kukuh.
Namun, jangan lupa! Satu-satu yang paling perlu di dalam kehidupan kita. Satu-satunya yang mesti dan wajib diletakkan di satu tempat yang paling atas didalam kehidupan kita iaitu AGAMA. Kita wajib menjunjung Agama diatas batu jemala, mengatasi diri sendiri, kaum keluarga, jiran, masyarakat, bangsa dan negara. Jika kita taat memenuhi dan mengikut ajaran Agama maka secara tidak langsung, maka lengkaplah keperluan diri, keluarga, jiran, masyarakat, bangsa dan negara. Agama itu lengkap segalanya. Malangnya, ada diantara kita yang sanggup meletakkan keduniaan melebihi Agama. Menonton televisyen, konsert atau wayang hingga lupa solat, berkelah ditepi pantai bersama keluarga sehingga lupa mengajak mereka bersolat, menghadiri jamuan dan keraian sehingga lupa batasan pergaulan aurat, malah ada yang berpolitik sehingga memutuskan silaturrahim caci cerca mengkafirkan sesama Islam dan meniagakan Islam demi kuasa! Itulah realiti dunia sekarang. Yang paling pasti, umat Islam di zaman ini telah berjaya dipisahkan dengan Al-Quran dan Sunnah oleh Yahudi Nasrani laknatullahi alaihim.
Akhir kata untuk kali ini, bangunlah wahai Melayu Muslim di Malaysia tercinta ini. Bersatulah mengikut saranan Islam sebenar. Janganlah kita tertipu dengan mainan mereka-mereka yang berkepentingan dengan menjual Islam demi pengaruh dan kuasa. Ulama'-ulama' silam sanggup dipenjarakan demi mengelak dari memegang jawatan yang amat berat tanggungjawabnya. Tetapi mereka-mereka yang menggelarkan diri mereka "ulama" sanggup menawarkan diri dan mengotorkan kesucian Islam demi kuasa. Sedarlah! Kehidupan ini hanya sementara. Didepan Allah nanti, seorang hamba sahaya adalah lebih mulia jika timbangan amalan pahalanya melebihi amalan raja atau pemerintah yang zalim. Semoga kita semua diberikan hidayah petunjuk oleh Allah S.W.T didalam kehidupan yang serba mencabar ini.
Wallahu'alam...